Bahagian 3 - Analisi Data & Dapatan Survei : Persepsi Pekerja UPM Terhadap Pelaksanaan Sistem Pengurusan Kualiti (ISO 9001:2015) | PUSAT JAMINAN KUALITI
» ARTIKEL » Bahagian 3 - Analisi Data & Dapatan Survei : Persepsi Pekerja UPM Terhadap Pelaksanaan Sistem Pengurusan Kualiti (ISO 9001:2015)

Bahagian 3 - Analisi Data & Dapatan Survei : Persepsi Pekerja UPM Terhadap Pelaksanaan Sistem Pengurusan Kualiti (ISO 9001:2015)

ANALISIS DATA DAN DAPATAN SURVEI

            Dapatan maklumat demografi bagi jantina responden menunjukkan terdapat 35.2% responden lelaki dan 64.8% adalah responden wanita. Responden yang berumur 18 tahun hingga 30 tahun adalah seramai 15.6%; umur 31 hingga 45 tahun adalah seramai 58.3%; dan umur 46 tahun ke atas adalah seramai 26.1%. Bagi kumpulan jawatan, Kumpulan Pengurusan dan Profesional  (Akademik) yang telah menyempurnakan survei adalah sebanyak 15.1%; Kumpulan Pengurusan dan Profesional (Bukan Akademik) adalah sebanyak 31.8%; dan Kumpulan Pelaksana adalah 53.1%. Demografi seterusnya merujuk kepada tempoh perkhidmatan iaitu 1 hingga 10 tahun adalah sebanyak 43.2%; 11 hingga 20 tahun adalah sebanyak 38.8%; manakala kategori ketiga iaitu tempoh perkhidmatan 21 tahun ke atas adalah 18% responden. Untuk maklumat demografi berkaitan tahap pendidikan, bilangan responden pada tahap Doktor Falsafah adalah sebanyak 13.8%; Ijazah Sarjana adalah sebanyak 15.3%; Ijazah Sarjana Muda adalah sebanyak 36.2%; Diploma/Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia adalah sebanyak 55%; Sijil Pelajaran Malaysia adalah sebanyak 29.2%; dan Sijil Rendah Pelajaran/Penilaian Menengah Rendah adalah sebanyak 0.5%.

 

            Berdasarkan analisis data bagi survei, dapatan menunjukkan jenis soalan yang berpasangan positif dan negatif telah menyerlahkan dapatan yang konsisten, walaupun soalan telah digubal dalam bentuk yang berbeza. Soalan utama dalam menggarap persepsi responden bagi survei ini adalah merujuk kepada dua soalan yang terakhir, iaitu soalan No. 15 dan No. 16. Kedua-dua soalan ini dengan secara eksplisit menjurus kepada dapatan utama dan kesimpulan survei iaitu untuk pengekalan pensijilan QMS atau beralih kepada penamatan pensijilan QMS. Tuntasnya, dapatan survei telah menunjukkan sebanyak 69% responden (333 orang) bersetuju untuk pensijilan QMS dikekalkan; manakala, 39% responden (246 orang) bersetuju untuk pensijilan QMS ditamatkan. Ringkasan analisis data bagi survei pelaksanaan QMS di UPM ditunjukkan seperti dalam Infografik 1 seperti berikut:

 

KESIMPULAN

           Dapatan survei yang telah dijalankan bagi mendapatkan persepsi pekerja UPM terhadap pelaksanaan QMS, beserta catatan maklum balas responden pada ruangan yang disediakan di dalam survei mendapati: Pelaksanaan Sistem Pengurusan Kualiti (QMS) di UPM adalah wajar untuk dikekalkan dengan kaedah dan skop sedia ada, buat tempoh ini. Walau bagaimanapun, sebagai salah satu daripada perancangan jangka panjang Pusat Jaminan Kualiti UPM dalam memastikan sesuatu keputusan pengurusan dan operasional pada masa hadapan adalah bersifat lestari dan luwes, satu kerangka jaminan kualiti dalaman yang tersendiri bagi UPM dalam progres berkala sedang dibangunkan. Inisiatif ini diharapkan akan dapat menggantikan pensijilan daripada SIRIM QAS International Sdn. Bhd. pada suatu masa nanti. Inisiatif pembangunan kerangka jaminan kualiti dalaman ini diilhamkan agar UPM, sebagai sebuah institusi pemberi pendidikan tinggi yang telah matang dan terkemuka akan dapat memacu pengurusan kualiti perkhidmatan, akademik dan akreditasi dengan lebih efisien dan kekal relevan, mengikut acuan unik UPM ke suatu tahap yang lebih bersifat strategik dan humanistik.
 

RUJUKAN

Krejcie, R. V., & Morgan, D. W. (1970). Determining sample size for research activities. Educational and Psychological Measurement, 30, 3, 607-610.

Pusat Jaminan Kualiti UPM. (2023). Pentadbiran dan pengurusan ISO UPM. Pusat Jaminan Kualiti, Universiti Putra Malaysia.

Ali, N. A. (2002). Quality management & governance in higher education. Universiti Putra Malaysia Press.

PASUKAN PENULIS

Profesor Dr. Amin Ismail merupakan Pengarah di Pusat Jaminan Kualiti UPM. Beliau berpengalaman luas dalam pengurusan kualiti perkhidmatan serta pengurusan kualiti akademik dan akreditasi di UPM, selain terlibat aktif dalam pengurusan kualiti perkhidmatan, akademik dan akreditasi di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa. Sebagai seorang pegawai akademik di Jabatan Pemakanan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, kepakaran beliau adalah dalam bidang Kimia dan Biokimia Makanan; Analisis Nutrien; dan Pembangunan Pangkalan Data Komposisi Makanan Malaysia. 

 

 

Profesor Madya Dr. Noor Syamilah Zakaria merupakan Timbalan Pengarah di Pusat Jaminan Kualiti UPM. Beliau berpengalaman luas dalam pengurusan kualiti perkhidmatan serta pengurusan kualiti akademik dan akreditasi di UPM, selain terlibat aktif dalam pengurusan kualiti perkhidmatan, akademik dan akreditasi di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa. Sebagai seorang pegawai akademik di Jabatan Pendidikan Kaunselor dan Psikologi Kaunseling, Fakulti Pengajian Pendidikan UPM, kepakaran beliau adalah dalam bidang Pendidikan Kaunselor dan Penyeliaan; Bimbingan dan Kaunseling; Pendidikan Etika Kaunseling; dan Pendidikan Moral.

 

Puan Haslida Hassan merupakan Timbalan Pendaftar merangkap Ketua Bahagian Pengurusan Kualiti Perkhidmatan di Pusat Jaminan Kualiti UPM. Beliau merupakan seorang personel yang berpengalaman luas dalam sistem pengurusan kualiti dan sistem pengurusan keselamatan maklumat di UPM.

 

 

Puan Zenaida Md. Zenon merupakan Penolong Pendaftar Kanan merangkap Ketua Seksyen Audit Kualiti, Bahagian Pengurusan Kualiti Perkhidmatan di Pusat Jaminan Kualiti UPM. Beliau merupakan seorang personel yang berpengalaman luas dalam sistem pengurusan kualiti di UPM.

 

Puan Shamriza Shari merupakan Penolong Pendaftar Kanan merangkap Ketua Seksyen Dokumentasi, Bahagian Pengurusan Kualiti Perkhidmatan di Pusat Jaminan Kualiti UPM. Beliau merupakan seorang personel yang berpengalaman luas dalam sistem pengurusan keselamatan maklumat di UPM.

 

 

Puan Siti Fatimah Hasim merupakan Penolong Pegawai Tadbir Kanan di Bahagian Pengurusan Kualiti Perkhidmatan, Pusat Jaminan Kualiti UPM. Beliau merupakan seorang personel yang sangat berpengalaman dalam pengurusan sistem pengurusan kualiti di UPM.

Tarikh Input: 07/02/2024 | Kemaskini: 19/02/2024 | aidawati

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT JAMINAN KUALITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1508
03-9769 1489
SXFDBAu~