Pengajian Fleksibel Buka Peluang Lebih Luas Kepada Pelajar | PUSAT JAMINAN KUALITI
» ARTIKEL » Pengajian Fleksibel Buka Peluang Lebih Luas kepada Pelajar

Pengajian Fleksibel Buka Peluang Lebih Luas kepada Pelajar

 

Institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan digalakkan mengambil langkah proaktif dalam usaha mengubah dan membentuk generasi masa hadapan menerusi pendidikan tinggi dengan penawaran program akademik lebih fleksibel.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, dalam dunia bergejolak, tidak pasti, kompleks dan tidak jelas (VUCA) ini, gaya hidup dan kerja bukan lagi berjalan secara konvensional di mana dunia pendidikan turut tidak terkecuali.

Katanya, dalam mendepani era serba mencabar ini, mod pengajian yang lebih ‘mesra pengguna’ adalah diperlukan.

“Dijangkakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) pada masa akan datang tidak lagi bersifat konvensional yang mana pelajar menghabiskan masa selama tiga ke empat tahun secara terus-menerus untuk mengikuti sesuatu program.

“Perkara itu mungkin berubah dan pelajar akan diberikan pilihan bila mereka akan bergraduat, namun penawaran mod sebegini menuntut transformasi secara holistik daripada IPT tempatan untuk menjayakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan kepada pengurusan dan ahli akademik UPT negeri Pahang 2024 bertajuk ‘Cabaran Masa Depan dan Pembelajaran dalam Pendidikan Tinggi’ di Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, IPT perlu bersedia dalam menghadapi senario berkenaan dan dalam konteks ini, MQA telah menyediakan pelbagai inisiatif bagi membantu merealisasikan agenda terbabit.

Beliau berkata, dengan menyediakan panduan kursus bersifat ‘micro-credential’ dan menggalakkan pengajian sepanjang hayat menerusi Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL), pengajian fleksibel boleh dijadikan realiti.

Katanya, beliau yakin ramai dalam kalangan anak muda serta masyarakat akan mempunyai lebih pilihan untuk mendapatkan sijil akademik yang dihajati dan pada masa sama boleh merancang struktur dan tempoh pengajian mereka.

“Pilihan seperti ini wajar diberikan kepada pelajar sekiranya IPT tempatan mahu bersaing di persada nasional dan global seterusnya menyaksikan kualiti pendidikan masyarakat kita meningkat.

“MQA menjangkakan fenomena ini akan berlaku sama ada kita suka atau tidak.

“Justeru IPT perlu bersedia untuk berhadapan situasi ini menerusi inovasi pendidikan bagi merealisasikan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi global,” katanya.

Mohammad Shatar berkata, sekiranya tidak bersedia menyediakan fleksibiliti sedemikian, dikhuatiri IPT tempatan tidak mampu bersaing di peringkat antarabangsa kerana ada universiti luar negara yang sudah menawarkannya.

“Dengan mod PdP yang kini lebih bersifat digital, IPT tempatan boleh memasarkan program akademik mereka ke pasaran antarabangsa secara lebih meluas dan tanpa sempadan.

“Pelajar antarabangsa pula mungkin sudah tidak perlu berada sepenuh masa di Malaysia, sebaliknya boleh menyambung pengajian secara dalam talian,” katanya.

 

Sumber dari  https://encr.pw/S2eNk

 

Tarikh Input: 08/04/2024 | Kemaskini: 08/04/2024 | aidawati

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT JAMINAN KUALITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1508
03-9769 1489
SXEeKAo~