"Semua jawatan atau peranan mempunyai fungsi masing-masing. Jurutera perlumbaan memastikan strategi digunakan tepat berdasarkan analisis dan data, manakala kru teknikal memastikan kereta berada dalam keadaan terbaik. Kerjasama itu menghasilkan kejayaan kepada sesebuah pasukan," katanya.
Shafiq berkata, golongan muda yang berminat membina kerjaya dalam industri sukan permotoran perlu membangunkan kemahiran teknikal dan pengetahuan berkaitan automotif, dengan laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menjadi antara platform pembangunan bakat dalam bidang berkenaan.
Beliau berkata, pembangunan bakat dalam industri itu perlu melihat keseluruhan ekosistem, bukan hanya melahirkan pelumba, tetapi turut menyediakan tenaga profesional dalam bidang teknikal dan pengurusan.
Menurutnya, Malaysia mempunyai potensi untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja tempatan dalam industri sukan permotoran berikutan minat masyarakat terhadap bidang automotif yang tinggi serta peluang kerjaya dan kemudahan bertaraf antarabangsa seperti SIC.
Untuk rekod, dua anak Malaysia berkhidmat selaku Jurutera Bendalir F1 Mercedes-AMG Petronas ialah Wan Mohd Saifullah Wan Saudi dan Emil Johan Bernsten selain Habibtullah Mohamad Fuad (Habib) dan Akmal Johari dalam kejohanan Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP).









