Bahagian 2 - Metodologi : Persepsi Pekerja UPM Terhadap Pelaksanaan Sistem Pengurusan Kualiti (ISO 9001:2015) | PUSAT JAMINAN KUALITI
» ARTIKEL » Bahagian 2 - Metodologi : Persepsi Pekerja UPM Terhadap Pelaksanaan Sistem Pengurusan Kualiti (ISO 9001:2015)

Bahagian 2 - Metodologi : Persepsi Pekerja UPM Terhadap Pelaksanaan Sistem Pengurusan Kualiti (ISO 9001:2015)

 

METODOLOGI

   

          Bagi mendapatkan persepsi pekerja UPM terhadap pelaksanaan QMS di UPM, satu set survei telah dibangunkan, dirintiskan dan dilaksanakan dalam kalangan pekerja UPM menerusi emel Info@UPM. Survei telah dibangunkan pada Februari 2023, dirintiskan pada April 2023 dan telah dilaksanakan untuk tempoh 15 Mei 2023 sehingga 31 Mei 2023. Survei terbahagi kepada tiga bahagian: Bahagian pertama merupakan maklumat demografi responden yang merangkumi data berkaitan jantina, umur, kumpulan jawatan, tempoh perkhidmatan dan tahap pendidikan. Maklumat umur responden dikategorikan kepada tiga peringkat umur iaitu 18 tahun hingga 30 tahun; 31 tahun hingga 45 tahun; serta 46 tahun dan ke atas. Kumpulan jawatan responden pula dikategorikan kepada tiga kumpulan iaitu Kumpulan Pengurusan dan Profesional (Akademik); Kumpulan Pengurusan dan Profesional (Bukan Akademik); dan Kumpulan Pelaksana. Seterusnya, tempoh perkhidmatan responden dikategorikan kepada tiga tempoh perkhidmatan iaitu 1 hingga 10 tahun; 11 hingga 20 tahun; serta 21 tahun dan ke atas. Tahap pendidikan responden pula dikategorikan kepada Doktor Falsafah; Ijazah Sarjana; Ijazah Sarjana Muda; Diploma/Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia; Sijil Pelajaran Malaysia; dan Sijil Rendah Pelajaran/Penilaian Menengah Rendah.

 

      Bahagian kedua dalam survei merupakan sejumlah soalan yang telah dibangunkan untuk menilai impak pelaksanaan QMS di UPM terhadap responden. Jumlah keseluruhan soalan adalah sebanyak 16 soalan; dan digubal menggunakan soalan jenis berpasangan atau matching/pairing type of questions, iaitu soalan berbentuk pasangan positif dan negatif yang bertujuan untuk meningkatkan kebolehpercayaan jawapan yang diberikan oleh responden, sebagaimana yang ditunjukkan dalam Jadual 1:

 

             Bahagian ketiga merupakan ruangan catatan yang disediakan bagi membolehkan responden menyatakan pandangan lanjut dan mengemukakan sebarang cadangan berkaitan survei pelaksanaan QMS di UPM. Survei melalui Google Forms telah disebarluaskan kepada pekerja UPM melalui emel info@UPM, iaitu saluran hebahan rasmi UPM bermula 15 Mei 2023 sehingga 31 Mei 2023. Emel peringatan kedua telah dihantar pada 29 Mei 2023, bertujuan untuk mendapatkan semaksimum responden yang mungkin mengikut kaedah persampelan yang telah ditetapkan. Bahagian pertama survei adalah maklumat demografi yang perlu dijawab secara langsung melalui pemilihan jawapan yang paling tepat daripada responden. Pada bahagian kedua pula, responden perlu menjawab kesemua soalan dengan menggunakan Pilihan 5 Mata Skala Likert. Skala 1 menunjukkan tahap “Sangat Tidak Setuju” manakala Skala 5 menunjukkan tahap “Sangat Setuju” seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 2:

 

           Data Pejabat Pendaftar UPM setakat Disember 2022 telah merekodkan jumlah keseluruhan pekerja UPM pada waktu survei dilaksanakan iaitu pada Mei 2023 adalah seramai 6,568 orang. Kaedah persampelan yang digunakan bagi survei ialah persampelan secara berkebetulan atau persampelan mudah (convenient sampling). Pengiraan jumlah sampel mimimum yang diperlukan bagi sesuatu survei berbentuk deskriptif boleh menggunakan formula pengiraan persampelan seperti yang dicadangkan oleh Krejcie & Morgan (1970) bagi populasi berjumlah antara 6000 hingga 7000 orang. Formula pengiraan sampel telah mencadangkan jumlah sampel adalah mencukupi jika terdapat seramai 361 hingga 364 responden dapat menjawab survei dengan sempurna. Kecukupan sampel adalah sangat signifikan dalam sesuatu survei yang bersifat deskriptif kuantitatif, iaitu sebagai titik rujukan bagi tujuan mengeneralisasi dapatan dan kesimpulan survei. Di akhir tempoh survei, terdapat seramai 616 responden telah menjawab survei dengan lengkap dan sempurna.

 

Tarikh Input: 07/02/2024 | Kemaskini: 19/02/2024 | aidawati

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT JAMINAN KUALITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1508
03-9769 1489
SXFCWAq~