Bahagian 1 - Pengenalan & Latar Belakang : Persepsi Pekerja UPM Terhadap Pelaksanaan Sistem Pengurusan Kualiti (ISO 9001:2015) | PUSAT JAMINAN KUALITI
» ARTIKEL » Bahagian 1 - Pengenalan & Latar Belakang : Persepsi Pekerja UPM Terhadap Pelaksanaan Sistem Pengurusan Kualiti (ISO 9001:2015)

Bahagian 1 - Pengenalan & Latar Belakang : Persepsi Pekerja UPM Terhadap Pelaksanaan Sistem Pengurusan Kualiti (ISO 9001:2015)

 

PENGENALAN

   

Kualiti merupakan pengukuran tahap dan kefungsian sesuatu produk atau perkhidmatan mengikut sesuatu standard yang telah ditetapkan. Cabaran utama sesebuah organisasi adalah untuk menghasilkan sesuatu produk atau perkhidmatan yang mencapai tahap kualiti, memenuhi ekspektasi pelanggan serta menempati ruang dan keperluan pasaran semasa. Amalan pembudayaan kualiti bagi kebanyakan organisasi adalah berteraskan Pertubuhan Piawaian Antarabangsa (International Organization for Standardisation - ISO). ISO merupakan sebuah organisasi bukan kerajaan yang bersifat bebas dan tidak bersandar, yang terdiri daripada gabungan pelbagai organisasi pengiktiraf kualiti daripada seluruh dunia yang ditubuhkan pada 1947, berpusat di Geneva, Switzerland. Sehingga artikel ini ditulis, ISO telah membangun dan menerbitkan lebih daripada 24,500 standard antarabangsa yang merangkumi aspek pengurusan perkhidmatan berkaitan teknologi, ekonomi, alam sekitar, pembuatan dan pengeluaran. ISO dianggotai oleh 167 negara, dengan keahlian sesebuah negara diwakili oleh satu organisasi dan Malaysia diwakili oleh Jabatan Standard Malaysia. Di Malaysia, hampir semua universiti melaksanakan Sistem Pengurusan Kualiti (ISO 9001:2015) dalam proses utama perkhidmatan di Pusat Tangungjawab (PTJ) masing-masing. Universiti Putra Malaysia (UPM) merupakan sebuah universiti yang melaksanakan sistem pengurusan kualiti satu pensijilan secara komprehensif, yang merangkumi semua proses utama meliputi pengajaran dan pembelajaran; penyelidikan dan inovasi; perkhidmatan profesional; serta perkhidmatan sokongan (Pusat Jaminan Kualiti UPM, 2023).

LATAR BELAKANG

   

Sistem Pengurusan Kualiti (Quality Management Systems) atau singkatannya QMS merupakan suatu pendekatan proses agar sesebuah organisasi berfungsi dengan baik dan memenuhi kehendak pelanggan atau pihak berkepentingan. ISO 9001 merupakan satu set standard antarabangsa yang memastikan pengurusan kualiti sesebuah organisasi sentiasa berada pada tahap yang optimum. Kerajaan Malaysia melalui Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bilangan 2 Tahun 1996, telah mengarahkan pelaksanaan MS ISO 9000 di semua agensi kerajaan, sebelum akhir tahun 2000.

Bermula tahun 2000 sehingga kini, UPM telah menggunakan satu standard pengurusan kualiti iaitu ISO 9001 - Sistem Pengurusan Kualiti (QMS). Seterusnya bermula tahun 2013 sehingga kini, satu standard pengurusan keselamatan maklumat pula disertakan iaitu ISO/IEC 27001 - Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS) bagi menambah baik kualiti ekosistem perkhidmatan di UPM. Kemudian pada tahun 2014, satu standard yang baharu iaitu ISO 14001 - Sistem Pengurusan Alam Sekitar (EMS) juga telah disertakan; namun pada tahun 2020, pemakaian standard ini telah ditamatkan setelah diitlakkan bahawa standard yang pertama iaitu QMS mampu memenuhi keperluan sebahagian besar skop kelestarian dan jaminan kualiti pengurusan alam sekitar di UPM.

Di UPM, sejarah penggunaan QMS bermula dengan Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) yang telah dianugerahkan dengan pensijilan MS ISO 9001:2000 pada Julai 2000. FPV menjadi institusi pendidikan tinggi pertama di dalam negara yang menerima pensijilan komprehensif dalam pengajaran dan perkhidmatan profesional. Inisiatif ini telah disebar luas kepada 28 PTJ lain di UPM. Tuntasnya sepanjang tempoh pelaksanaan QMS tersebut, banyak pertambahan skop QMS serta penyertaan PTJ telah dapat direkodkan. Kejayaan terbesar bagi UPM ialah apabila berjaya memperoleh pensijilan MS ISO 9001:2008 pada 27 Disember 2011, dengan mencapai petunjuk prestasi utama iaitu ke arah satu pensijilan QMS. Sehingga ke hari ini, QMS telah diimplementasi di UPM selama 23 tahun. Sepanjang tempoh ini, pengamalan kualiti menerusi QMS sewajarnya telah dibudayakan oleh semua pekerja UPM. Penghayatan QMS ini terbukti dapat dicerap menerusi kejayaan UPM dalam menambah baik kualiti perkhidmatan, akademik dan akreditasi dari tahun ke tahun. Pada tahun 2017, UPM telah berjaya merangkul Anugerah Kualiti SIRIM yang dianugerahkan kepada organisasi terbaik di Malaysia sebagai pengiktirafan kepada pencapaian tahap pengurusan kualiti yang menepati standard kebangsaan dan antarabangsa.

Kejayaan UPM dalam mengekalkan satu pensijilan QMS selama 23 tahun dengan skop yang merangkumi hampir kesemua proses di UPM telah menimbulkan persoalan sama ada QMS melalui pensijilan dengan pihak SIRIM QAS International Sdn. Bhd., masih perlu dikekalkan ataupun wajar ditamatkan. Persoalan ini telah dibangkitkan dalam Mesyuarat Kajian Semula Pengurusan (MKSP) ISO UPM Tahun 2022 pada 20 September 2022 dengan pandangan lanjut iaitu, sewajarnya UPM mampu beralih kepada suatu kerangka sistem jaminan kualiti dalaman yang tersendiri dan lebih tekal. Artikel ini melaporkan dapatan survei bagi persepsi pekerja UPM terhadap pelaksanaan QMS di UPM.

Tarikh Input: 07/02/2024 | Kemaskini: 19/02/2024 | aidawati

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT JAMINAN KUALITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1508
03-9769 1489
SXFDHA4~