27 September 2024, Serdang Sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini di Pusat Jaminan Kualiti (CQA) berlangsung dengan penuh kemeriahan dan semangat patriotic sepanjang bulan Ogos sehingga 16 September 2024. Pelbagai aktiviti kreatif dan bermakna dianjurkan seperti menyertai pertandingan Kibar Jalur Gemilang berkonsepkan ‘Terowong Memoir Kemerdekaan’ anjuran PKKSSAAS, UPM, Aktiviti Mewarna Keluarga CQA, Aktiviti Kemerdekaan Keluarga CQA, Perkongsian Topik Sejarah Malaysia di Read@CQA dan lain-lain lagi. Program Kibar Jalur Gemilang berkonsepkan ‘Terowong Memoir Kemerdekaan’ mengajak warga CQA untuk merenung kembali perjuangan kemerdekaan negara melalui pameran sejarah yang sangat membanggakan. Konsep "Terowong Memoir Kemerdekaan" membawa warga UPM khusunya staf CQA menyusuri perjalanan masa, memaparkan detik-detik penting dalam sejarah kemerdekaan negara. Melalui pameran interaktif, warga CQA berpeluang mengenali lebih dekat tokoh-tokoh kemerdekaan serta melihat paparan peristiwa bersejarah yang membentuk kemerdekaan negara yang kita nikmati hari ini. Terowong ini dihias dengan hasil kreativiti kakitangan menggunakan bahan-bahan terpakai sebagai simbol semangat kitar semula dan kemampanan. Selaras dengan usaha mempromosikan kemampanan, sambutan tahun ini menggalakkan penggunaan bahan terpakai untuk menghias kawasan sekitar pejabat CQA. Dari bendera hingga replika bangunan bersejarah, semuanya dihasilkan daripada bahan-bahan kitar semula, menunjukkan bahawa kreativiti tiada batasan apabila disertai dengan kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar. Antara replika kemerdekaan yang dicipta menggunakan bahan terpakai ialah Bendera Malaysia yang dibuat menggunakan kotak telur serta replika Menara 118 menggunakan kotak terpakai selain beberapa lagi hiasan lain yang turut menggunakan barang terpakai seperti kertas terpakai, botol air mineral dan lain-lain lagi. Aktiviti Mewarna Keluarga CQA pula menjadi salah satu acara yang paling menarik yang mana setiap ahli keluarga CQA menyumbang kreativiti dan inovasi mereka melalui aktiviti mewarna poster bertemakan kemerdekaan. Aktiviti ini bukan sahaja menonjolkan bakat seni tetapi juga mengeratkan hubungan antara warga CQA serta keluarga dalam semangat kebersamaan dan cinta akan tanah air seiring dengan tema ‘Jiwa Merdeka’ tahun ini. Semasa sesi penjurian, warga CQA turut mempersembahkan beberapa persembahan seperti deklamasi sajak, laungan kemerdekaan, nyanyian syair berirama hiasan, membaca pantun serta diakhiri dengan tayangan video pendek mengenai bunga kebangsaan Malaysia iaitu bunga raya yang dilakonkan oleh Pengarah CQA, Prof. Ir. Ts. Dr. Abd. Rahim Abu Talib dan keluarga beliau serta video montaj perjalanan sambutan kemerdekaan oleh keluarga CQA sama ada dalam suasana pejabat atau di rumah ketika bersama keluarga. Dengan penuh semangat, sambutan Hari Kemerdekaan CQA 2024 ini bukan sahaja mengingatkan kita tentang pengorbanan nenek moyang dalam memperjuangkan kemerdekaan tetapi juga menekankan kepentingan nilai-nilai kemampanan untuk generasi akan datang. |
||
![]() |
||
Tarikh Input: 30/09/2024 | Kemaskini: 16/10/2024 | aidawati
(Pejabat Naib Canselor)
Tingkat 4, Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)
Off Lebuh Silikon
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor