Mesyuarat Kajian Semula Pengurusan (MKSP) QMS Dan ISMS Kali Ke-16 | PUSAT JAMINAN KUALITI cqa
» BERITA » Mesyuarat Kajian Semula Pengurusan (MKSP) QMS dan ISMS Kali ke-16

Mesyuarat Kajian Semula Pengurusan (MKSP) QMS dan ISMS Kali ke-16

 

21 Julai 2026, Serdang – Pusat Jaminan Kualiti (CQA), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah melaksanakan Mesyuarat Kajian Semula Pengurusan (MKSP) Sistem Pengurusan Kualiti (QMS) ISO 9001:2015 dan Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS) ISO/IEC 27001:2022 bertempat di Dewan Senat, Bangunan Canselori Putra, UPM serta bersiaran menerusi Google Meet bersama pihak UPM Sarawak. Mesyuarat telah dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad farhan Mohd Sadullah, FASc, Naib Canselor, UPM. Sesi mesyuarat yang membincangkan sebelas (11) agenda ini telah diterajui oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Noor Syamilah Zakaria, K.B., P.A., Pengarah, CQA merangkap Wakil Pengurusan UPM manakala Puan Rozi Tamin, Timbalan Pengarah Jaminan Kualiti Perkhidmatan, CQA berperanan selaku Setiausaha MKSP ISO UPM. Sebagai mukadimah, Pengerusi telah menekankan berkenaan pelaksanaan MKSP yang dianggotai oleh semua Pegawai Utama UPM, Ketua Pusat Tanggungjawab (PTJ) dan Pentadbir Tertinggi PTJ adalah merupakan keperluan penting bagi memastikan sistem pengurusan sentiasa relevan, berkesan dan mematuhi keperluan standard ISO serta hala tuju strategik universiti.

Mesyuarat ini menumpukan kepada penilaian menyeluruh terhadap keberkesanan Sistem Pengurusan Kualiti (QMS) dan Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS) UPM, termasuk tindakan susulan mesyuarat terdahulu, perubahan isu dalaman dan luaran, prestasi sistem, kepuasan pelanggan, audit, sumber, risiko serta peluang penambahbaikan. Mesyuarat telah meneliti status dan keberkesanan tindakan susulan MKSP ISO QMS dan ISMS Kali Ke-15 Tahun 2025 bagi memastikan tindakan yang telah dipersetujui dilaksanakan dan ditutup secara berkesan. Perubahan persekitaran dalaman dan luaran UPM yang mempunyai kaitan dengan QMS dan ISMS telah dikenal pasti serta dinilai bagi memastikan sistem pengurusan kekal relevan, responsif dan selaras dengan keperluan semasa organisasi. Dapatan kepuasan pelanggan serta maklum balas pihak berkepentingan bagi QMS dan ISMS telah dibincangkan sebagai input penting untuk menilai tahap keberkesanan penyampaian perkhidmatan dan mengenal pasti ruang penambahbaikan. Pencapaian Key Performance Indicator  (KPI) UPM Tahun 2025, penetapan KPI  2026, pencapaian Pelan Tindakan Peringkat Fungsian dan Aras setiap Pusat Tanggungjawab (PTJ) UPM, Piagam Pelanggan serta Objektif ISMS telah dinilai bagi menentukan tahap pencapaian sasaran dan keberkesanan sistem. Ketidakakuran serta tindakan pembetulan QMS dan ISMS telah diteliti untuk memastikan punca masalah dikenal pasti, tindakan pembetulan dilaksanakan dan keberkesanannya disahkan bagi mengelakkan isu berulang. Hasil dapatan Audit SIRIM 2025 dan Audit Dalaman 2026 bagi QMS dan ISMS telah dibincangkan, termasuk status penemuan, tindakan pembetulan serta peluang penambahbaikan yang perlu dilaksanakan oleh peneraju dan PTJ yang berkaitan. Prestasi penyedia luar serta kecukupan sumber manusia dan kewangan juga telah dinilai bagi memastikan sokongan yang diperlukan mencukupi untuk menyokong pelaksanaan QMS dan ISMS secara berkesan. Mesyuarat turut menilai keberkesanan tindakan menangani risiko strategik UPM, risiko dan peluang QMS yang merangkumi risiko operasi perkhidmatan semua PTJ di UPM serta hasil penilaian risiko keselamatan maklumat bagi memastikan risiko yang dikenal pasti Adalah dikawal pada tahap yang bersesuaian. Peluang penambahbaikan bagi QMS dan ISMS juga telah dikenal pasti berdasarkan keseluruhan input mesyuarat, termasuk dapatan audit, prestasi sistem, maklum balas pelanggan, risiko, sumber serta perubahan isu organisasi.

Secara keseluruhannya mesyuarat ini telah menyimpulkan bahawa Dasar Pengurusan Kualiti dan Dasar Pengurusan Keselamatan Maklumat Universiti Putra Malaysia (UPM) adalah sesuai dan dikekalkan. Pelaksanaan Sistem Pengurusan Kualiti (QMS) ISO 9001:2015 dan Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS) ISO/IEC 27001:2022 adalah mencukupi dan berkesan. UPM berkeupayaan mengekalkan pensijilan QMS ISO 9001:2015 dan ISO/IEC 27001:2022 serta bersedia untuk menghadapi Audit Pemantauan Semakan 2 oleh pihak badan pensijilan bagi tahun 2026 yang dijadualkan pada 7 hingga 11 September 2026 dengan komitmen dan akauntabiliti pihak pengurusan universiti serta pihak pengurusan PTJ, sebagaimana keperluan Standard ISO Klausa 5 yang ditetapkan.

 
       
  Berita disediakan oleh   :Siti Fatimah Hasim   |  Seksyen Pembudayaan Kualiti    |  Pusat Jaminan Kualiti

Tarikh Input: 02/08/2026 | Kemaskini: 18/08/2026 | aidawati

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT JAMINAN KUALITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1508
03-9769 1489
W, (06:36:28am-06:41:28am, 19 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]