|
24 Februari 2026, Serdang - Pusat Jaminan Kualiti (CQA), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Kualiti UPM Kali ke-65 bertempat di Dewan Senat, Bangunan Canselori Putra, UPM serta bersiaran menerusi Google Meet bersama pihak UPM Sarawak dan Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (I-AQUAS), Port Dickson, Negeri Sembilan. YBrs. Profesor Madya Dr. Noor Syamilah Zakaria, K.B., P.A., Pengarah, Pusat Jaminan Kualiti merangkap Wakil Pengurusan UPM telah mempengerusikan mesyuarat ini. Sebagai mukadimah, Pengerusi telah menyampaikan kupasan ringkas moto Pusat Jaminan Kualiti (CQA) “Mengandalkan Kualiti, Memperkukuh Legasi” yang diangkat bersempena Sambutan Sedekad CQA pada 11 November 2025 yang lalu. Pengerusi turut menekankan peri pentingnya peranan Pentadbir UPM selaku Agen Kualiti UPM dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab, menerusi penjajaran terhadap Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035 serta Pelan Strategik UPM 2026-2030 sebagaimana yang dihasratkan oleh Naib Canselor, UPM menerusi Amanat Naib Canselor UPM Tahun 2026 yang telah disampaikan pada 30 Januari 2026. Mesyuarat mengalu-alukan kehadiran 3 orang ahli baharu yang merupakan Timbalan Wakil Pengurusan Peneraju Proses/Pusat Tanggungjawab (TWP PP/PTJ) iaitu Puan Rozi Tamin (Timbalan Pengarah Jaminan Kualiti Perkhidmatan, CQA), Puan Maizatul Afzan Tajul Ariffin (Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat) dan Encik Muizzudin Kaspol (Perpustakaan Sultan Abdul Samad) dengan aluan selamat datang serta mengharapkan komitmen terbaik dalam membantu pengurusan kualiti di peringkat PTJ dan UPM. Mesyuarat turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada mantan ahli iaitu Puan Hjh. Haslida Hassan (Mantan Timbalan Pengarah Jaminan Kualiti Perkhidmatan, CQA) yang telah bersara pada 25 Disember 2025 serta Cik Haslina Abu Seman@Talib (Mantan TWP PP, Perpustakaan Sultan Abdul Samad) yang telah dilantik sebagai Ketua Pustakawan UPM berkuat kuasa mulai 5 Januari 2026 hingga 25 April 2027. Mesyuarat yang berdurasi selama tiga (3) jam ini telah berlangsung dengan jayanya dalam membincangkan agenda kualiti UPM serta mengupas isu-isu dan tindakan berkaitan yang merangkumi aspek dokumentasi ISO, pengurusan audit bagi Sistem Pengurusan Kualiti (QMS) ISO 9001:2015 dan Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS) ISO/IEC 27001:2022, pencapaian Objektif Kualiti QMS dan ISMS, maklum balas pihak berkepentingan QMS dan ISMS, penilaian risiko ISO, pengurusan latihan universiti serta pengurusan rekod universiti. |
![]() |
||
| Berita ditulis oleh | : Siti Fatimah Hasim | Seksyen Pembudayaan Kualiti | Pusat Jaminan Kualiti |
Tarikh Input: 19/03/2026 | Kemaskini: 03/05/2026 | aidawati

(Pejabat Naib Canselor)
Tingkat 4, Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)
Off Lebuh Silikon
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor