28 November 2025, Putrajaya – Pusat Jaminan Kualiti (CQA), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Bengkel Refleksi Prestasi 2025 dan Perancangan Draf Pelan Strategik 2026 bertempat di Hotel Zenith. Bengkel ini telah disertai oleh seramai 21 orang warga CQA yang terdiri daripada 2 orang Pegawai Akademik, 9 orang Pegawai Bukan Akademik dan 10 orang Pegawai Pelaksana merangkumi keseluruhan staf Pusat Jaminan Kualiti.
Penganjuran bengkel ini bertujuan untuk menilai pencapaian keseluruhan CQA sepanjang tahun 2025, termasuk keberkesanan proses kerja, pencapaian petunjuk prestasi utama (KPI), dapatan audit serta maklum balas pelanggan. Selain itu, bengkel ini turut menjadi platform penting dalam menetapkan KPI CQA bagi tahun 2026 dan merangka Draf Pelan Strategik CQA Tahun 2026 yang lebih fokus, relevan serta selari dengan hala tuju universiti.
Sepanjang bengkel, para peserta terlibat secara aktif dalam sesi perbincangan dan pembentangan yang menumpukan kepada refleksi prestasi, pengenalpastian isu, jurang serta peluang penambahbaikan terhadap proses kerja sedia ada. Hasil perbincangan ini akan digunakan sebagai asas untuk memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan CQA agar lebih cekap dan berkesan.
Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen CQA dalam menyokong aspirasi kerangka True North UPM khususnya dalam merealisasikan Perkhidmatan Melangkaui Jangkaan, di samping memastikan peranan Jaminan Kualiti Akademik dan Jaminan Kualiti Perkhidmatan terus diperkasakan secara berterusan.