Katanya, TVET lebih menekankan kemahiran praktikal dan kompetensi pekerjaan, manakala universiti memberi tumpuan kepada teori, pemikiran kritikal serta pembangunan profesional.
"Perbezaan ini turut mempengaruhi jenis kerjaya yang diceburi, dengan graduan TVET lebih cenderung menjadi juruteknik, teknologis, penyelia atau usahawan, manakala graduan universiti biasanya mengisi jawatan profesional, pengurusan, penyelidikan dan akademik," katanya.
Beliau berkata, kajian persepsi yang dijalankan terhadap 30 majikan daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan mendapati graduan TVET dan graduan universiti mempunyai tahap kemampuan yang hampir setara, namun graduan TVET lebih menyerlah dari aspek kesiapsiagaan untuk memasuki alam pekerjaan.
Bagaimanapun, katanya TVET masih berdepan cabaran dari segi pengiktirafan yang setara dengan laluan akademik, khususnya berkaitan kesetaraan kelayakan, pemindahan kredit dan persepsi masyarakat yang masih menganggap TVET sebagai pilihan kedua.
Razman Hafifi berkata, ibu bapa dan pelajar perlu membuat pilihan berdasarkan minat, kemampuan serta aspirasi kerjaya, bukannya semata-mata pencapaian akademik.
"Bagi pelajar yang bercita-cita menjadi usahawan atau bekerja secara bebas, laluan TVET seawal usia 16 tahun boleh menjadi pilihan yang sesuai, manakala bagi yang menyasarkan kerjaya profesional dan jawatan pengurusan, menamatkan SPM sebelum menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi mungkin lebih menguntungkan.
"Jika murid itu lemah Matematik dan Sains, mungkin sukarnya untuk memilih bidang kejuruteraan, namun itu tidak bermakna mereka tidak sesuai atau gagal jika memilih TVET.
"Hal ini disebabkan bidang itu menawarkan pelbagai program selain kejuruteraan, dengan tahap pengajian yang boleh disesuaikan mengikut kemampuan dan minat pelajar," katanya.









