Penguasaan Bahasa Asing Lonjak Kualiti Pendidikan Tinggi Negara | PUSAT JAMINAN KUALITI
» ARTIKEL » Penguasaan Bahasa Asing Lonjak Kualiti Pendidikan Tinggi Negara

Penguasaan Bahasa Asing Lonjak Kualiti Pendidikan Tinggi Negara

   
     

SEPANG: Penguasaan pelbagai bahasa dalam kalangan pelajar mampu melonjakkan kualiti pendidikan tinggi negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata, penguasaan bahasa asing menjadi antara kelebihan yang perlu ada pada pelajar dalam dunia serba mencabar kini.

Katanya, ketika ini kelayakan akademik semata-mata tidak menjanjikan graduan berupaya mendapat peluang pekerjaan kerana secara umumnya kebanyakan masyarakat kita mempunyai kelayakan akademik yang baik.

"Nilai tambah graduan berbentuk kemahiran alternatif amat diperlukan dan penguasaan bahasa asing ialah sesuatu yang wajar diberi pertimbangan.

"Pelajar yang menguasai tiga hingga empat bahasa pastinya akan menjadi dambaan majikan apabila pelajar hadir temu duga selepas tamat pengajian nanti kerana golongan ini akan memberi kelebihan buat organisasi," katanya.

Mohammad Shatar berkata, pelajar digalakkan untuk melengkapkan diri dengan menguasai tiga bahasa selepas bahasa Melayu atau bahasa ibunda masing-masing.

"Jangan hanya berharap dengan kelayakan akademik menerusi segulung ijazah akan membantu kejayaan dalam kerjaya pada masa akan datang kerana keadaan sudah tidak sama seperti dulu.

"Peluang lebih luas buat mereka (pelajar) Apabila mampu menguasai banyak bahasa asing, malah boleh memohon untuk bekerja di syarikat antarabangsa, multinasional atau bekerja di luar negara," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, institusi pendidikan tinggi (IPT) pula boleh memilih bahasa asing yang mahu dijadikan kebitaraan supaya sampai satu masa nanti menjadi kebiasaan dalam kalangan majikan jika mahu mencari graduan yang mahir sesuatu bahasa boleh ke IPT terbabit.

Katanya, kualiti IPT dan graduan tempatan pastinya akan dapat ditingkatkan pada tahap lebih membanggakan dalam arena pendidikan tinggi global seterusnya menjadi buruan majikan untuk mencari bakat baharu di syarikat mereka.

"Kita perlu mengakui bahawa kepelbagaian bahasa adalah aset berharga yang dapat memperkaya dan mengukuhkan kedudukan negara di arena antarabangsa.

"Sekiranya perkara ini boleh dijayakan secara menyeluruh, pastinya usaha menjadikan Malaysia sebagai hab bakat dan pengetahuan atau pusat ilmu sejagat akan dapat direalisasikan selaras dengan hasrat Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin," katanya.

 

Sumber dipetik dari

Tarikh Input: 17/12/2023 | Kemaskini: 25/01/2024 | aidawati

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT JAMINAN KUALITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1508
03-9769 1489
SXFCWA4~