MQA Rangka 10 Inisiatif Lonjak Pendidikan Tinggi Negara | PUSAT JAMINAN KUALITI
» ARTIKEL » MQA Rangka 10 Inisiatif Lonjak Pendidikan Tinggi Negara

MQA Rangka 10 Inisiatif Lonjak Pendidikan Tinggi Negara

 

Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menggariskan 10 inisiatif bagi memacu kecemerlangan pendidikan tinggi negara.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof Datuk Mohammad Shatar Sabran berkata, inisiatif terbabit digarap bagi merealisasikan agenda MQA untuk muncul sebagai pemimpin dalam kalangan badan jaminan kualiti.
 
Beliau berkata, antara inisiatif berkenaan ialah MQA memainkan peranan sebagai pemudah cara untuk semua institusi pendidikan tinggi (IPT) tanpa mengira awam atau swasta dengan memperhebat kerjasama bagi meningkatkan kualiti pendidikan secara bersama.
 
"MQA juga komited untuk menyahut agenda pendigitalan yang diuar-uarkan kerajaan dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terutama membabitkan kerja memproses penilaian dan penghantaran dokumen.
 
"Bagi memperkukuh jaminan kualiti dalaman IPT tempatan, MQA akan meningkatkan jumlah graduan program Certified Officer in Quality Assurance of Higher Education menerusi penawaran program itu yang dikendalikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu Ketua Pegawai Eksekutif MQA 2023 dengan tajuk `Pendidikan Tinggi Berkualiti Global' di Mercu MQA, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, Prof Ir Khairul Salleh Mohamed Sahari; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) MQA Halinordina Mat Saat; Pengarah Kanan Pembangunan Dasar dan Kepakaran MQA, Mohamad Dzafir Mustafa; Pengarah Kanan (Akreditasi), Mohd Khairul Nizam Ibrahim dan Ahli Majlis MQA.
 
Dalam usaha memperkasa agenda pengantarabangsaan pula, Mohammad Shatar berkata, MQA akan membuka jaringan baharu bermula tahun ini dengan badan jaminan kualiti di Afrika, Asia Tengah, Amerika Selatan, India, China dan Asia Barat.
 
Katanya, pihaknya merancang untuk menjayakan 'Malaysian Week' di luar negara dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), agensi lain di bawah KPT dan IPT tempatan bagi mempromosi pendidikan tinggi Malaysia.
 
"Kita mahu menjadikan MQA sebagai rujukan jaminan kualiti global dengan menonjolkan reputasi kualiti pendidikan tinggi Malaysia yang baik.
 
"Usaha ini juga selaras dengan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bagi menjadikan Malaysia sebagai hab bakat dan pengetahuan atau pusat ilmu sejagat," katanya.
 

 

Sumber dipetik dari

Tarikh Input: 29/03/2023 | Kemaskini: 27/04/2023 | aidawati

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT JAMINAN KUALITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1508
03-9769 1489
SXEZUAO~