Jadi Pengulas Makanan Perlu Ada Ilmu Pemakanan | PUSAT JAMINAN KUALITI
» ARTIKEL » Jadi Pengulas Makanan Perlu Ada Ilmu Pemakanan

Jadi Pengulas Makanan Perlu Ada Ilmu Pemakanan

  

Pencipta kandungan yang memfokuskan tentang ulasan makanan perlu mempunyai ilmu bagi mengelak mereka terjerat dengan penyakit termasuk obesiti. Nasihat itu disuarakan Pengarah, Pusat Jaminan Kualiti , Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Amin Ismail yang berkata, kerjaya sebagai food reviewer bukan sahaja memperkenalkan sesuatu makanan, malah mampu mempengaruhi orang ramai untuk mencuba makanan tersebut.

"Kerjaya ini sangat baik kerana terdapat banyak makanan menarik dan unik di Malaysia untuk diperkenalkan kepada orang ramai. Walau bagaimanapun, mereka seharusnya mempunyai sekurang-kurang pengetahuan asas tentang pemakanan tidak sihat yang tinggi kandungan lemak, gula dan garam selain menggalakkan pemakanan sihat seperti tinggi serat, melebihkan pengambilan buahan serta sayur-sayuran. Mereka boleh mengulas tentang menu sihat. Maklumat mengenainya boleh diperoleh daripada Kementerian Kesihatan atau Persatuan Pemakanan Malaysia atau di Jabatan Pemakanan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM," katanya.

Menurut beliau, pengetahuan mengenai pemakanan sihat mampu memberi kesedaran kepada pengulas makanan agar lebih berhati-hati dan berpada ketika 'bekerja'. "Jika tidak dikawal, ia akan memberi kesan kepada kesihatan sehingga menyebabkan pertambahan berat badan, kandungan gula dan lemak tinggi dalam darah yang mendedahkan kepada obesiti, kencing manis dan sakit jantung," jelasnya.

Sementara itu, Pegawai Dietetik Pemakanan Hospital Al-Sultan Abdullah Universiti Teknologi Mara, Farah Farhanah Hashim pula mencadangkan agar makanan tersebut dikongsi bagi mengelak dimakan secara berlebihan."Selain itu meminum air kosong, lakukan fizikal aktiviti dan selitkan nasihat tentang pengambilan makanan sihat dan seimbang kepada penonton," katanya. Jelasnya golongan pengulas makanan mempunyai peranan yang besar dalam meningkatkan tahap kesedaran kesihatan masyarakat Malaysia."Kajian di Arab Saudi membuktikan pengulas makanan mempunyai pengaruh kuat sehingga 10 kali ganda kepada pengikut media sosial mereka. Bagaimanapun di Malaysia, mungkin berlipat kali ganda dengan pilihan makanan kita. "Nasihat saya, buat ulasan makanan yang sihat, seimbang dan didik masyarakat memilih makanan sihat, cukup serat dan menggalakkan meminum air kosong," pesannya.  

 

 

Sumber dari :

Tarikh Input: 25/07/2023 | Kemaskini: 31/07/2023 | aidawati

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT JAMINAN KUALITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1508
03-9769 1489
SXFDDAD~