IPT Tempatan Disaran Sediakan Kenyataan Kelayakan Malaysia | PUSAT JAMINAN KUALITI
» ARTIKEL » IPT Tempatan Disaran Sediakan Kenyataan Kelayakan Malaysia

IPT Tempatan Disaran Sediakan Kenyataan Kelayakan Malaysia

 

Semua institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan disaran menyediakan Kenyataan Kelayakan Malaysia (MQS) sebagai tambahan kepada transkrip yang diberikan kepada graduan.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, transkrip sedia ada hanya mengandungi maklumat mengenai nama program, subjek dan jam kredit.

 

Beliau berkata, dengan adanya MQS, majikan akan mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai graduan yang hadir ke sesi temu duga seterusnya dapat menilai sama ada seseorang itu sesuai atau tidak untuk bekerja dengan institusi mereka.

 

Katanya, inisiatif itu sudah dijalankan di kebanyakan negara di Eropah dan Kanada dengan panggilan Diploma Supplement, Australia (Graduate Statement), dan New Zealand (Tertiary Education Achievement Report) bagi menerangkan kelayakan dan pengalaman seseorang dalam konteks profesional.

“Konsep yang sama juga dilaksanakan di negara rantau Asia Tenggara seperti Thailand, Filipina dan Singapura selain Malaysia.

 

“Pelaksanaan penyediaan MQS ini akan meningkatkan daya saing dalam kalangan graduan IPT tempatan dan meningkatkan peratusan kebolehpasaran graduan, memudahcara pengiktirafan dan mobiliti antarabangsa” katanya.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, kesediaan IPT tempatan menyediakan MQS akan meningkatkan imej pendidikan tinggi negara.

Ini kerana dalam era globalisasi, IPT perlu kreatif dan inovatif dalam usaha memasarkan graduan IPT tempatan ke pasaran kerja global, pada masa sama sentiasa menunjukkan Malaysia terkehadapan dalam konteks pendidikan tinggi.

 

Secara langsung atau tidak langsung, katanya, inovasi itu akan mampu menarik pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian di Malaysia.

“Inisiatif ini juga akan membantu merealisasikan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi global,” katanya.

 

Tarikh Input: 12/08/2024 | Kemaskini: 12/08/2024 | aidawati

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT JAMINAN KUALITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1508
03-9769 1489
W.2025/7/5:8:59:29~noCache