Dari Serdang Ke Jepun | PUSAT JAMINAN KUALITI
» ARTIKEL » Dari Serdang ke Jepun

Dari Serdang ke Jepun

 

    
         
 

Deruman enjin kereta lumba yang dihasilkan Universiti Putra Malaysia (UPM) memecah keheningan pagi di perkarangan Auditorium Jurutera Radin Omar, Fakulti Kejuruteraan UPM ketika berlangsungnya pelancaran 'PUTRA 2'.

PUTRA 2 dihasilkan menerusi 'Putra Motorsport Team' dengan pembabitan 73 penuntut, dibantu 10 penasihat akademik dan lima staf teknikal sepanjang tempoh pembangunan selama 13 bulan bermula Julai 2025.

Pelancaran itu sebagai persediaan Putra Motorsport Team mewakili Malaysia pada pertandingan Formula SAE Japan ke-24 yang akan berlangsung di Aichi, Jepun, pada 2 hingga 7 Ogos ini.

Di sebalik kepulan asap nipis dan lincahnya jentera itu dipandu dalam demonstrasi teknikal, tersimpul ribuan jam keringat dan air mata 73 penuntut kejuruteraan tempatan yang bercita-cita menakluk litar antarabangsa.

PUTRA 2, jentera dihasilkan bukan sekadar sebuah mesin berkelajuan tinggi. Ia manifestasi keberanian, inovasi dan bukti mahasiswa tempatan mampu berdiri sama tinggi dengan pakar kejuruteraan global.

Bagi Naib Canselor UPM Prof Datuk Ir Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah, pelancaran PUTRA 2 adalah simbol kejayaan model pendidikan berasaskan pengalaman.

Beliau menegaskan bahawa universiti kini harus berfungsi sebagai platform yang menterjemah teori di bilik kuliah kepada penyelesaian dunia sebenar.

 
 

"Projek ini mencerminkan satu usaha bersepadu yang merentasi pelbagai bidang kejuruteraan.

"Di UPM, kejayaan tidak lagi hanya diukur melalui deretan gred cemerlang, tetapi melalui keupayaan penuntut menghasilkan impak nyata kepada industri.

"PUTRA 2 membuktikan penuntut kita bukan sekadar 'belajar' kejuruteraan, tetapi mereka sedang membina masa depan teknologi negara," katanya.

Menurutnya, penyertaan kali keempat UPM menunjukkan konsistensi universiti dalam mengasah bakat yang mempunyai daya saing global dan universiti tunggal mewakili Malaysia pada edisi kali ini.

Untuk rekod, kali pertama UPM mempertandingkan jentera perlumbaan mereka yang dinamakan 'JEBAT' pada edisi 2016, diikuti 'LEKIR' (2018) dan 'PUTRA 1' (2024).

Melihat kepada anatomi jentera ini, jelas ia adalah hasil kerja tangan yang teliti.

Dibangunkan selama 13 bulan bermula Julai 2025, PUTRA 2 menampilkan evolusi ketara berbanding pendahulunya, PUTRA 1.

Putra Motorsport Team memilih casis daripada keluli 'Chromoly' yang ringan namun teguh, dipadankan dengan badan gentian karbon komposit buatan khas.Satu pembaharuan teknikal yang menjadi kebanggaan pasukan ialah penggunaan sistem suspensi 'pushrod'.

Sistem ini membolehkan pelarasan dilakukan secara lebih terperinci mengikut profil litar sama ada memerlukan profil rendah untuk pecutan lurus atau tinggi sedikit untuk kestabilan di selekoh tajam.

Nadi jentera ini digerakkan oleh enjin CFMOTO 700MT berkapasiti 693cc yang telah ditala khas.

Dengan kemampuan menghasilkan 72 kuasa kuda (hp) dan tork 61 Nm, PUTRA 2 mampu mencecah kelajuan antara 90km/j hingga 100km/j, satu angka yang cukup kompetitif bagi kategori Formula Penuntut.

Di sebalik kemegahan spesifikasi ini, tersimpan satu kisah perjuangan projek ini di peringkat awal.

Kapten pasukan, Aliman Zafran Yuslaimi, 23, mendedahkan bahawa projek berkenaan bermula dengan kekangan kewangan yang sangat meruncing.

"Projek ini sebenarnya satu cerita yang menyentuh hati. Kami bermula dengan baki akaun hanya sekitar RM5,000.

"Untuk membina jentera yang menelan kos keseluruhan hampir RM120,000 dengan modal sebegitu kecil dianggap mustahil bagi ramai orang.

"Namun, kami memegang motto 'Once Throttled, Move Forward'. Kami tidak menoleh ke belakang lagi," katanya.

Berkat dedikasi penuntut dan sokongan pengurusan Fakulti Kejuruteraan, Putra Motorsport Team berjaya menarik keyakinan rakan industri.

Antaranya Embun Karisma Resources (M) Sdn Bhd sebagai penaja utama, Ranhill Berhad (penaja emas) dan CFMOTO melalui Sunlight Power Sdn Bhd (penaja platinum).

 

 

Pertandingan Formula SAE Japan sering dianggap sebagai 'Sukan Olimpik Kejuruteraan' bagi penuntut universiti.

Penasihat Putra Motorsport Team Prof Ir Dr Mohd Khairol Anuar Mohd Ariffin menjelaskan bahawa penilaian di Jepun nanti merangkumi dua segmen utama, 'Static Event' dan 'Dynamic Event'.

"Ramai silap anggap ini pertandingan lumba semata-mata. Hakikatnya, markah besar diberikan kepada segmen statik.

"Penuntut perlu membentangkan laporan analisis kos, reka bentuk kejuruteraan, malah cadangan rancangan perniagaan.

"Mereka perlu meyakinkan juri, ibarat pelabur sebenar, mengapa jentera mereka layak dipasarkan secara komersial," katanya.

Bagi segmen dinamik di litar, jentera akan diuji melalui ujian pecutan, ujian masa dan ujian ketahanan sejauh 26 kilometer (20 pusingan).

Dengan persaingan yang dijangka melibatkan 83 pasukan daripada seluruh dunia, Aliman Zafran meletakkan sasaran yang realistik namun mencabar bagi misi 2026 ini.

"Kami menyasarkan untuk berada dalam kelompok 30 pasukan terbaik. Ini adalah satu pencapaian yang besar buat kami.

"Selain teknologi, kami juga memberi tumpuan kepada sistem Data Acquisition (DAQ).

"Kami memantau data kereta secara masa sebenar untuk memastikan prestasi jentera sentiasa optimum tanpa bergantung sepenuhnya kepada maklum balas pemandu," tambahnya lagi.

Pemandu utama, Muhammad Fadhlin Mohd Fuaad, 22, turut berkongsi keterujaannya.

Baginya, memandu PUTRA 2 memberi pengalaman yang jauh berbeza dari segi keselesaan dan responsif jentera.

Katanya, pengalaman ini bukan sahaja menguji kemahiran pemanduannya, tetapi juga melatihnya untuk berkomunikasi secara teknikal dengan pasukan mekanik di pit.

Satu aspek yang jarang dilihat umum adalah bagaimana Putra Motorsport Team mengekalkan kesinambungan ilmu.

Projek itu membabitkan gabungan penuntut tahun dua hingga tahun empat.

Proses penyerahan ilmu daripada senior kepada junior dilakukan secara sistematik supaya kepakaran kejuruteraan ini tidak terhenti sebaik sahaja penuntut tamat pengajian.

"Inilah simulasi dunia sebenar. Mereka belajar tentang pengurusan manusia, bekerja dalam tekanan dan menyelesaikan masalah luar jangka di litar.

"Inilah kualiti jurutera yang dicari oleh industri masa kini," kata Prof Ahmad Farhan mengakhiri perbualan.

PUTRA 2 kini sedia untuk beraksi. Ia bukan sekadar membawa jenama UPM, tetapi membawa harapan dan maruah negara ke bumi matahari terbit.

Dari Serdang ke Aichi, aspirasi jurutera muda Malaysia ini kini sedang memecah sempadan global, membuktikan bahawa inovasi tempatan sememangnya bertaraf dunia.

    

Perkongsian artikel oleh: Norliyani Anor | Seksyen Data Program

Sumber daripada:

Tarikh Input: 20/07/2026 | Kemaskini: 20/07/2026 | aidawati

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT JAMINAN KUALITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1508
03-9769 1489
W, (08:41:05am-08:46:05am, 22 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]