|
1 April 2026, Cyberjaya – Pusat Jaminan Kualiti (CQA), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menyertai Bengkel Asas Jaminan Kualiti yang dianjurkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada 1 hingga 2 April 2026 bertempat di Mercu MQA. Bengkel ini bertujuan untuk memberi pendedahan asas berkaitan prinsip, amalan serta keperluan jaminan kualiti dalam pendidikan tinggi selaras dengan standard yang ditetapkan oleh MQA. Program ini telah dihadiri oleh 40 orang peserta yang mewakili institusi pendidikan tinggi berstatus swaakreditasi masing-masing bagi memperkukuh kefahaman serta perkongsian amalan terbaik dalam pelaksanaan jaminan kualiti akademik. UPM telah diwakili oleh dua orang pegawai dari CQA iaitu Prof. Madya Dr. Syamilah Zakaria, Pengarah CQA dan Puan Rahmawati Umar, Ketua Seksyen Daftar Program. Penyertaan ini dilihat sebagai satu langkah proaktif dalam memastikan pegawai yang terlibat sentiasa peka dan kompeten terhadap keperluan semasa berkaitan jaminan kualiti, seterusnya menyokong usaha universiti dalam mengekalkan standard akademik yang cemerlang. Sepanjang bengkel berlangsung, para peserta telah didedahkan dengan pelbagai topik penting merangkumi pengenalan kepada kerangka jaminan kualiti, tatacara permohonan akreditasi serta pelaksanaan penilaian akreditasi program bagi pelbagai peringkat kelayakan termasuk prauniversiti, diploma, sarjana dan kedoktoran. Selain itu, peserta turut diberi pendedahan berkaitan proses membuat keputusan penilaian program dan pematuhan syarat. Bengkel ini juga merangkumi perbincangan mengenai pengurusan prestasi Agensi Penilaian Program (APP), serta proses pengurusan, penyerahan dan pendaftaran program. Sesi rumusan di akhir bengkel memberi peluang kepada peserta untuk merangkumkan kefahaman serta membincangkan isu-isu praktikal dalam pelaksanaan jaminan kualiti di institusi masing-masing. Menurut Pengarah CQA, “Bengkel ini sangat penting dan membantu saya memahami proses jaminan kualiti di MQA, seterusnya dapat membuat penambahbaikan di CQA bagi memastikan peranan CQA sebagai mini MQA dapat diperkasa.” Diharapkan penyertaan ini dapat memberi nilai tambah kepada CQA UPM dalam memperkukuh pelaksanaan sistem jaminan kualiti akademik, selaras dengan aspirasi universiti untuk terus unggul di peringkat nasional dan antarabangsa. |
![]() |
||
| Berita ditulis oleh | : Rahmawati Umar | Seksyen Data Program | Pusat Jaminan Kualiti |
Tarikh Input: 30/04/2026 | Kemaskini: 03/05/2026 | aidawati

(Pejabat Naib Canselor)
Tingkat 4, Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)
Off Lebuh Silikon
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor