Pameran EKSA Sempena Bulan Sinergi Putra 2026 | PUSAT JAMINAN KUALITI cqa
» BERITA » Pameran EKSA Sempena Bulan Sinergi Putra 2026

Pameran EKSA Sempena Bulan Sinergi Putra 2026

 

15 Jun 2026, Serdang - Pusat Jaminan Kualiti (CQA), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menyertai pameran Pelaksanaan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) sempena Majlis Peluncuran Bulan Sinergi Putra 2026 yang berlangsung pada 15 hingga 16 Jun 2026 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Abdul Aziz Shah, UPM. Pameran ini diadakan bersempena Bulan Sinergi Putra 2026 yang berlangsung sepanjang 1 hingga 30 Jun 2026 sebagai usaha universiti menggerakkan tindakan, aktiviti dan program berteraskan lima fokus utama UPM tahun 2026.

Penyertaan CQA dalam pameran ini mengetengahkan tema ‘Program Jiwa PUTRA Membudaya EKSA’ di bawah fokus Jiwa PUTRA. Melalui pameran tersebut, CQA berkongsi pelaksanaan EKSA sebagai pendekatan membina persekitaran kerja yang bersih, teratur, selamat dan kondusif, sekali gus menyokong penyampaian perkhidmatan universiti yang lebih cekap, berkualiti dan berimej profesional. Inisiatif ini turut memperlihatkan bagaimana nilai kesukarelawanan, dan kebersamaan dapat diterjemahkan secara praktikal melalui penjagaan ruang kerja dan budaya kerja harian warga UPM.

Bulan Sinergi Putra 2026 memberi tumpuan kepada lima fokus utama iaitu Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kesihatan Planet dan Kelestarian, Kesohoran Global, Kesejahteraan Warga serta Jiwa PUTRA. Sehubungan itu, pameran ini menjadi platform perkongsian amalan terbaik, inovasi dan komitmen warga universiti dalam menyokong hala tuju strategik UPM.

Bagi menyokong penghayatan EKSA sepanjang program ini, empat komponen utama telah diketengahkan iaitu Gotong-Royong Jiwa Putra, Pertandingan Inovasi EKSA PTJ, Jiwa Putra Green Office dan Penilaian Pelaksanaan EKSA PTJ. Aktiviti gotong-royong menggalakkan warga PTJ mewujudkan ruang kerja yang kemas dan selamat, manakala pertandingan inovasi membuka ruang kepada idea kreatif yang dapat menambah baik proses kerja. Inisiatif Jiwa Putra Green Office pula menekankan amalan hijau seperti penjimatan tenaga, pengurangan penggunaan kertas dan pengurusan sumber secara lestari.

Penilaian Pelaksanaan EKSA PTJ dilaksanakan bagi menilai tahap pematuhan, keberkesanan pelaksanaan serta mengenal pasti ruang penambahbaikan berterusan. Secara keseluruhannya, pameran ini bukan sahaja memperkenalkan aktiviti EKSA kepada warga universiti, malah memperkukuh peranan CQA dalam membudayakan kualiti, inovasi dan amalan pengurusan yang sistematik di UPM. Pelaksanaan EKSA melalui pendekatan Jiwa PUTRA diharap dapat terus menyemarakkan rasa tanggungjawab bersama terhadap persekitaran kerja yang lebih produktif, lestari dan kondusif.

 

 
       
  Berita disediakan oleh   :Rozi Tamin  |  Jaminan Kualiti Perkhidmatan |  Pusat Jaminan Kualiti

Tarikh Input: 20/07/2026 | Kemaskini: 02/08/2026 | aidawati

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT JAMINAN KUALITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1508
03-9769 1489
W, (12:21:28pm-12:26:28pm, 10 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]