![]() |
Universiti mempunyai tanggungjawab penting dalam pembangunan masyarakat dan ekonomi, dan sumbangannya perlu berubah selari dengan perkembangan semasa. Menyifatkan pandangan bahawa kebanyakan universiti di beberapa negara Islam, termasuk Malaysia seolah-olah sudah `hilang roh' dalam melahirkan ilmuan terbilang, Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor/Rektor Universiti Awam(JKNC/RUA), Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman, berkata ia boleh dijadikan iktibar dan peringatan buat semua ahli cendekiawan. Mohd Ekhwan yang juga Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata sifat dan pandangan ahli akademik seperti yang disuarakan Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Singapura (NUS), Prof Dr Syed Muhammad Khairudin Al-Junied itu ibarat 'lubuk akal' yang sentiasa mahu yang terbaik untuk ekosistem pendidikan, sama ada di negara masing-masing mahu pun di peringkat antarabangsa. "Justeru, sumbangan universiti perlu turut berubah dengan keadaan semasa, yang banyak memberi penekanan kepada kemunculan kecerdasan buatan (AI), kerjasama yang perlu dijalinkan bersama dengan industri dan kewujudan pengaruh media massa. "Di sinilah peranan universiti teruji. Sebagai contoh, universiti perlu terbabit dengan kolaborasi bersama pihak industri bagi menjalankan penyelidikan dan pembangunan teknologi baharu. "Ini dapat dijayakan dengan kerjasama bersama syarikat yang menghasilkan inovasi yang relevan dengan pasaran," katanya kepada BH, hari ini. Kelmarin, Syed Muhammad Khairudin menyatakan pandangan, kebanyakan universiti di beberapa negara Islam, termasuk Malaysia seolah-olah sudah `hilang roh' dalam melahirkan ilmuan terbilang berikutan hasil penyelidikan dan kajian menerusi penulisan yang diterbitkan mereka tidak lagi memberi impak kepada masyarakat. Syed Muhammad Khairudin yang pernah tersenarai antara 500 individu Islam dunia paling berpengaruh itu, berkata majoriti daripada pengurusan universiti berkenaan tidak lagi tertumpu kepada soal pembangunan dan pendidikan sepenuhnya, sebaliknya tersembunyi agenda berkepentingan peribadi atau kumpulan tertentu. Mengulas lanjut, Mohd Ekhwan berkata, universiti juga perlu menggunakan pengaruh media massa dan teknologi komunikasi dalam meningkatkan advokasi serta memperluas akses pendidikan kepada masyarakat umum. Katanya, seperti dunia yang kini wujud tanpa sempadan menerusi media massa, seperti itu jugalah pendidikan yang boleh dicapai oleh sesiapa saja yang dahagakan ilmu. "Natijahnya, universiti perlu berdiri dan berpegang teguh dengan falsafah asal penubuhannya. "Contohnya di UKM, hala tuju kita sebagai sebuah universiti watan yang memperjuang bahasa Melayu sebagai bahasa moden dan dinamik akan sentiasa diperjuang serta dipertahan dalam apa jua keadaan," katanya. Mohd Ekhwan berkata, kecemerlangan pendidikan tinggi di Malaysia kini dipacu dengan cemerlang menerusi gagasan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menerusi lima fokus utama yang digariskan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan 20 landasan yang dicerakinkan pada 12 Januari lalu. Ia termasuk memberi penekanan kepada pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi yang menekankan kajian berimpak, yang bukan saja mampu memperbaiki kehidupan rakyat tetapi juga menambahbaik ekonomi dan mengukuhkan aspek sosial negara. "Jika ditelusuri 20 landasan yang digariskan, KPT turut memberi perhatian yang sangat serius kepada aspek memperdaya komuniti dan industri melalui program pemindahan kongsi ilmu. "Pada masa sama, penekanan turut diberikan kepada peranan ahli akademia untuk menyemai nilai dan budaya ilmu supaya manfaatnya dapat dirasakan semua, termasuk masyarakat," katanya. |
Sumber dari : https://acesse.dev/XYBkH
|
Tarikh Input: 11/06/2024 | Kemaskini: 18/06/2024 | aidawati
(Pejabat Naib Canselor)
Tingkat 4, Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)
Off Lebuh Silikon
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor