PESAN ISO UPM : ISO 14001 (EMS) - Sistem Pengurusan Alam Sekitar | PUSAT JAMINAN KUALITI
» ARTIKEL » PESAN ISO UPM : ISO 14001 (EMS) - Sistem Pengurusan Alam Sekitar

PESAN ISO UPM : ISO 14001 (EMS) - Sistem Pengurusan Alam Sekitar

     

SEJARAH STANDARD

 

Sejarah standard ISO 14001 bermula pada tahun 1992 adalah seperti yang ditunjukkan pada Rajah 7.

 

Rajah 7 :  Sejarah Standard IS0 14001 (1992 -2015)

 

SEJARAH PELAKSANAAN

 

Cadangan ke arah pensijilan Sistem Pengurusan Alam Sekitar (EMS) 14001 di UPM tercetus pada 18 September 2012 melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JPU) Kali ke-456 berkaitan Laporan Jawatankuasa Pepandu Kampus Hijau UPM.  Mesyuarat JPU pada ketika itu bersetuju UPM melaksanakan EMS bagi membantu program inisiatif hijau dalam mencapai objektif EMS dari segi penjimatan pembelian kertas, tenaga elektrik, pemantauan pelepasan asap bas bahan bakar diesel serta termasuk pengendalian bahan kimia, bahan beracun, radioaktif dan sisa buangan terjadual. Mesyuarat JPU menetapkan Pendaftar, UPM sebagai Wakil Pengurusan dan seorang pakar alam sekitar sebagai Timbalan Wakil Pengurusan (TWP) EMS yang juga Setiausaha Jawatankuasa Pepandu Hijau pada ketika itu. Selaras dengan keputusan JPU serta pelantikan Pendaftar sebagai Wakil Pengurusan, Bahagian Jaminan Kualiti, Pejabat Pendaftar turut bertindak sebagai Urus Setia bagi pelaksanaan EMS ISO 14001 di UPM. 

Berdasarkan keputusan ini, jadual perancangan pelaksanaan EMS dikemukakan kepada JPU dan telah bersetuju menetapkan UPM mendapatkan pensijilan MS ISO 14001:2004 pada tahun 2013 dengan pelantikan Prof. Madya Dr. Mohamad Amran Mohd. Salleh dari Fakulti Kejuruteraan sebagai Timbalan Wakil Pengurusan (TWP) EMS berdasarkan bidang kepakaran beliau (Petikan Minit JPU Kali ke-461). Cadangan pelantikan Wakil Pengurusan, TWP EMS, Struktur Jawatankuasa serta kos pelaksanaan EMS dinyatakan melalui Minit Mesyuarat JPU Kali ke-461 (24 Oktober 2012) dan Minit Mesyuarat JPU Kali ke-472 (30 Januari 2013).

Pelaksanaan EMS di UPM bermula tahun 2013 dan telah berjaya mendapat pensijilan Sistem Pengurusan Alam Sekitar (EMS) ISO 14001:2004 pada 29 Disember 2014 dengan skop pensijilan “Penyediaan Perkhidmatan Pengajaran dan Pembelajaran”.  Penetapan skop ini dibuat bertujuan untuk menetapkan sempadan (boundary) selaras dengan khidmat utama yang disediakan oleh universiti seperti yang disarankan oleh pihak badan pensijilan. Skop pengajaran dan pembelajaran meliputi pengurusan dan pelaksanaan penyelidikan, jaringan industri dan komuniti, pembangunan dan pengurusan pelajar serta alumni dan pengurusan korporat. 

Sebanyak 26 Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang terlibat  di bawah skop pensijilan EMS seperti berikut:

  •   Semua Fakulti (termasuk Kampus Bintulu) – 16 Fakulti
  •   Pusat Asasi Sains Pertanian
  •   Taman Pertanian Universiti (kini dikenali sebagai Pusat Pertanian Putra) termasuk Kampus Bintulu
  •   Pusat Jaminan Kualiti
  •   Pejabat Penasihat Undang-undang
  •   Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi (kini dikenali sebagai Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat)
  •   Pejabat Pendaftar
  •   Pejabat Bursar
  •   Pejabat Pembangunan dan Pengurusan Aset
  •   Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
  •   Bahagian Hal Ehwal Pelajar

 

Seterusnya pada tahun 2018, UPM telah melaksanakan peralihan Standard EMS dengan pertambahan keperluan baharu berasaskan standard ISO 14001:2015 dan berjaya melepasi Audit Pemantauan Semakan 1 pihak SIRIM pada 12-14 September 2018.

Walau bagaimanapun atas pertimbangan yang teliti, Pihak Pengurusan Universiti telah bersetuju menamatkan pensijilan EMS bermula Mac 2020. Persetujuan ini dicapai atas pertimbangan beberapa faktor antaranya adalah implikasi kos kewangan yang tinggi bagi memenuhi keperluan standard dan keperluan akta perundangan yang ditetapkan.

Struktur Jawatankuasa Pepandu EMS adalah seperti yang ditunjukkan pada Rajah 8.

Rajah 8: Struktur Jawatankuasa Pepandu EMS

 

 

NOMBOR PENSIJILAN

 

UPM telah berjaya memperoleh pensijilan EMS ER 0909 pada 29 Disember 2014 dengan skop pensijilan “Penyediaan Perkhidmatan Pengajaran dan Pembelajaran”. Pada tahun 2017, nombor pensijilan MS ISO 14001:2004 EMS telah dipinda kepada EMS 00706 berdasarkan ketetapan terkini oleh pihak SIRIM.

 

DASAR SISTEM PENGURUSAN ALAM SEKITAR

 

Dasar Sistem Pengurusan Alam Sekitar dibuat oleh Lembaga Pengarah Universiti sebagaimana kuasa yang diberikan oleh seksyen 20(1) Perlembagaan UPM.  Berikut adalah pernyataan Dasar Universiti Putra Malaysia (Sistem Pengurusan Alam Sekitar):

Universiti Putra Malaysia beriltizam mengadakan sistem pengurusan alam sekitar yang berkesan melalui:

a.     pematuhan keperluan undang-undang, peraturan dan keperluan-keperluan lain mengenai alam sekitar khususnya 

        pencegahan pencemaran alam sekitar;

b.      pembangunan objektif dan matlamat berdasarkan penilaian aspek impak alam sekitar;

c.      penilaian semula dan pengubahsuaian polisi, objektif dan sasaran untuk penambahbaikan berterusan;

d.      pembudayaan amalan baik ke arah kelestarian alam sekitar.

 

Maklumat Dasar Sistem Pengurusan Alam Sekitar UPM adalah seperti yang ditunjukkan pada Rajah 9.

 

Rajah 5Dasar Sistem Pengurusan Alam Sekitar  (EMS) UPM

[disahkan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti bertarikh 10 Disember 2013]

 

FASA PENGEKALAN PENSIJILAN ISO 14001

 

Rajah 10  menunjukkan fasa pengekalan pensijilan ISO 14001 di peringkat UPM dengan kronologi pelaksanaan EMS UPM mulai tahun 2013 hingga tahun 2020.

 

Rajah 10 :  Kronologi Pelaksanaan EMS UPM

 

CABARAN PENSIJILAN EMS ISO 14001:2015

 

Perjalanan UPM dalam mengekalkan pensijilan EMS berhadapan pelbagai isu serta cabaran. Antara cabaran-cabaran yang dihadapi adalah seperti berikut: 

1.     Pematuhan kepada undang-undang yang menjadi keperluan utama dalam pelaksanaan MS ISO 14001 tidak dapat dipatuhi

        pada setiap tahun penilaian;

2.     Kekangan sumber kewangan iaitu keperluan sumber kewangan yang tinggi bagi memastikan pematuhan setiap perundangan 

        yang terkait dengan alam sekitar di UPM bagi semua PTJ di bawah skop pensijilan;

3.     Kekangan sumber manusia iaitu kesukaran mendapatkan Orang yang Kompeten sebagaimana keperluan yang diperuntukkan 

        dalam Undang-undang (keupayaan dan kesediaan staf dalaman untuk memenuhi tahap kompetensi/latihan yang ditetapkan);

4.     Skop Pengajaran dan Pembelajaran di bawah EMS yang terlalu luas iaitu berlaku pertindihan proses di bawah skop pensijilan

        Sistem Pengurusan Kualiti (QMS) ISO 9001 dengan Sistem Pengurusan Alam Sekitar (EMS) ISO 14001, contohnya pengurusan

        sisa terjadual, penyelenggaraan kebuk wasap dan pengurusan bahan kimia;

5.     Pelaksanaan EMS sedia ada di UPM tidak menyokong mana-mana Petunjuk Prestasi (KPI) Universiti iaitu PTJ di bawah skop 

        melaksanakan EMS tanpa keperluan yang signifikan dengan mana-mana KPI UPM dan ini membawa kepada pembaziran

        sumber manusia, masa dan kos; dan

6.     Boundary (sempadan) dalam penetapan skop Pengajaran dan Pembelajaran tidak dapat dihayati sepenuhnya oleh Juruaudit

        Badan Pensijilan dan staf UPM (Auditee).

 

PENAMATAN PENSIJILAN EMS ISO 14001:2015

 

Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JPU) Kali ke-696 pada 12 Februari 2020 setelah meneliti dan mempertimbangkan segala aspek cabaran yang dihadapi, Universiti Putra Malaysia telah bersetuju untuk tidak meneruskan pensijilan Sistem Pengurusan Alam Sekitar (EMS) ISO 14001:2015 pada tahun 2020 atas justifikasi berikut:

 1.     Universiti melaksanakan EMS tanpa terkait (tidak signifikan) dengan mana-mana KPI UPM atau hasil yang diharapkan     

         (intended outcome)Contoh: Penarafan UI-Green Metric;

 2.     Universiti sebagai organisasi pendidikan tidak mengeluarkan kadar bahan pencemar ke udara berbanding organisasi sektor

         industri yang berisiko tinggi bagi tahap pencemaran ke udara;

 3.     Universiti memerlukan kos yang tinggi bagi tujuan pematuhan undang-undang alam sekitar untuk memenuhi keperluan

         Standard ISO14001:2015;

 4.     Universiti telah melaksanakan proses kawalan alam sekitar yang telah sedia ada diterapkan dalam pelaksanaan Sistem

         Pengurusan Kualiti (QMS) secara menyeluruh di UPM tanpa perlu melaksanakan tindakan berulang dalam pensijilan ISO

        14001:2015;

5.      Universiti melaksanakan skop pensijilan EMS yang terlalu luas merangkumi banyak PTJ yang terlibat memberi implikasi besar

         kepada keperluan sumber di UPM; dan

6.      Universiti telah melaksanakan aktiviti/program kelestarian hijau yang lebih menyeluruh berbanding pelaksanaan EMS bagi

         menyokong penarafan UI-Green Metric sebagaimana yang dihasratkan oleh Universiti.

Atas pertimbangan yang teliti serta justifikasi yang dikemukakan, Pihak Pengurusan Universiti telah bersetuju menamatkan          pensijilan EMS bermula Mac 2020.

Tarikh Input: 28/04/2023 | Kemaskini: 23/08/2023 | aidawati

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT JAMINAN KUALITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1508
03-9769 1489
SXDdUAb~