Di samping ODL, kaedah penyampaian lain di bawah UTM HyFlex ialah Kursus Persijilan Mikro (Micro Credential, MC) dan Massive Open Online Courses (MOOC) yang kini turut melibatkan 987 pelajar antarabangsa yang berada di 115 negara seluruh dunia sehingga tahun 2024.
Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UTM, Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim, berkata kejayaan ODL telah dibuktikan dengan 285 pelajar berjaya bergraduasi sejak program ODL ditawarkan.
Dari jumlah berkenaan, 112 pelajar ODL bergraduasi pada Majlis Konvokesyen UTM ke-68 yang berlangsung baru-baru ini.
"Dengan permohonan yang semakin meningkat, jelas kita melihat bahawa pendidikan secara digital ini dijadikan pilihan kepada mereka yang ingin meningkatkan kelayakan akademik mereka dalam kekangan masa dan sebagainya.
"Ini yang kita sedang susun dan rancang apabila sebelum ini kita melihat minat pelajar untuk menyambung pengajian adalah rendah. Jadi mereka ada pilihan untuk pendidikan fleksibel dan secara dalam talian ini seperti ODL, MOOC dan MC," katanya ketika ditemu bual BH, baru-baru ini.
Mohd Shafry berkata, UTM yang berkemampuan untuk dijadikan sampel atau contoh kepada universiti lain mula menawarkan 12 program lepasan siswazah termasuk satu program kedoktoran secara ODL yang menerima jumlah pelajar meyakinkan menyebabkan ia bakal dikembangkan.
Katanya, ODL, MOOC dan MC adalah pendidikan berteraskan bahan pembelajaran kendiri dalam bentuk video, serta aktiviti pembelajaran interaktif dimuat naik ke sistem pengurusan pembelajaran untuk diakses pelajar pada bila-bila masa yang disepadukan.
"Untuk ODL ia masih dilaksanakan mengikut sistem semester yang diadakan dalam talian, interaksi juga dalam talian, peperiksaan juga dalam talian dan apabila selesai dengan jayanya, kita akan berikan mereka Ijazah yang berkaitan.
"Kita bermula dahulu dengan Ijazah Sarjana Kejuruteraan Forensik, Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dan Ijazah Sarjana Pendidikan (Teknologi Pendidikan).
"Kita pilih program ini mengikut permintaan pasaran yang mana apabila kita lihat kehadiran dalam pembelajaran secara fizikal adalah rendah bagi satu-satu program, apabila kita cuba laksanakan pula secara dalam talian, ia mendapat perhatian tinggi termasuk dari pelajar antarabangsa.
"Kaedah ini juga menjimatkan kos pelajar yang tidak perlu hadir ke kampus, malah mereka boleh menyambung pelajaran ketika mereka bekerja," jelasnya.
Bagi memudahkan urusan pendidikan fleksibel berteraskan digital itu, UTM menggunakan fasiliti yang terdapat dalam Pusat Pemajuan dalam Pembelajaran Digital dan Fleksibel (UTM CDex) di UTM yang bertujuan untuk membangunkan modul pembelajaran dalam platform digital.
Katanya, menerusi pelantar UTM Online yang dibangunkan oleh UTM CDex, membolehkan pelajar mendaftar masuk, membayar yuran, menyimpan kredit pembelajaran dalam bank kredit akademik dan melayari pendidikan pada bila-bila masa di mana-mana sahaja secara berpusat selagi mereka mempunyai telefon pintar dan akses internet.
"UTM tetap menjaga kualiti dalam setiap yang dilaksanakan termasuk bahan pembelajaran, penilaian, pengajaran termasuk pensyarah yang diberikan kursus selengkapnya dan semua fasiliti untuk menjayakannya ada di UTM CDex bersama Sekolah Pengajian Siswazah (SPS) dan UTM Digital.
"Bagi tenaga pengajar yang terbabit pula, setahun sebelum memulakan pengajaran, mereka perlu membangunkan modul pembelajaran kendiri dalam bentuk digital untuk diakses oleh pelajar," jelasnya.
Mengenai cabaran ODL, Mohd Shafry berkata, dari segi pelajar, ia membabitkan masalah infrastruktur, akses jaringan internet dan isu teknikal.
"Ada sesetengah negara tidak boleh akses kepada jaringan Malaysia, itu isu utama dan yang paling penting pelajar perlu ada kemudahan internet untuk menjayakan ODL," katanya.
Mohd Shafry berkata, ODL menjadi penyelesaian kepada mereka yang tidak mahu sambung belajar atas kekangan tertentu, namun beliau melihat negara kini sedang berubah.
"Jika telefon bimbit dahulunya satu kehendak, tetapi kini ia menjadi satu keperluan. Oleh itu, pendidikan boleh diakses di mana-mana sahaja pada masa kini," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, UTM dalam usaha mewujudkan makmal maya bagi membolehkan lebih banyak program berasaskan teknologi ditawarkan menerusi ODL dengan kemudahan melaksanakan aktiviti membabitkan eksperimen secara maya.
"Sekarang kita ada kampus maya, dan kita sedang giat membangunkan virtual lab pula dan apabila makmal ini lengkap, kita akan tambah program berbentuk teknologi," katanya.