Keseimbangan IQ, EQ Dan SQ | PUSAT JAMINAN KUALITI
» ARTIKEL » Keseimbangan IQ, EQ dan SQ

Keseimbangan IQ, EQ dan SQ

SISTEM pendidikan kini tidak lagi menekankan kepada kecemerlangan pencapaian dalam peperiksaan (IQ, kecerdasan minda atau Intelligence Quotient) semata-mata. Tetapi, sistem pendidikan sekarang lebih menekankan kepada pendidikan untuk menjadi manusia positif dan bermanfaat, (EQ, kecerdasan emosi atau Emotional Quatient). Iaitu pendidikan yang menitikberatkan juga kepada pembangunan diri dan kemahiran mengawal emosi. Ini kerana yang menentukan sikap seseorang ialah EQ iaitu sejauh mana kemampuan seseorang mampu mengawal emosi dalam semua keadaan, sama ada positif atau negatif.

Kecerdasan emosi atau EQ tidak nampak melalui mata kasar tetapi dapat disingkap melalui penilaian sikap, yang menentukan keterampilan dan personaliti seseorang. Dari segi penguasaan dan kendalian emosi seseorang individu melalui bahasa badan, penampilan dirinya akan akan dinilai. Melaluinya akan dapat ditentukan sama ada individu berkenaan seorang yang tenang dan penyabar atau seorang yang kelam-kabut dan pemarah? Adakah dia seorang yang agresif atau pasif? Adakah dia seorang yang bersemangat dan berkeyakinan atau seorang yang lemah, malas dan penakut. Semuanya boleh dinilai melalui EQ.

Pembangunan EQ akan menghasilkan kecerdasan emosi yang berkeupayaan untuk memahami diri sendiri serta diri orang lain. Juga berkeupayaan merasa emosi orang lain yang hidup bersama kita. Jika orang bersedih kita turut bersedih, simpati dan empati. Jika orang gembira, kita turut bahagia meraikannya. Dalam pada itu ibu bapa dan guru bertanggung jawab membina emosi positif kanak-kanak melalui komunikasi.

Berdasarkan kajian, tingkah laku buruk anak-anak adalah disebabkan oleh tiga faktor. Pertama, 50 peratus disebabkan pilihan sendiri. Mata yang memilih sama ada untuk memandang perkara yang menambahkan ilmu atau memandang perkara sia-sia. Telinga yang memilih sam ada untuk mendengar perkara yang bermanfaat atau mudarat. Tangan yang memilih tindakan. Kaki yang memilih langkah haluan sama ada ke arah kejayaan atau kegagalan, kebahagiaan atau kesusahan, ketakwaan atau kemungkaran, mengharap penghargaan Allah atau penghargaan manusia.

Kedua, 40 peratus kerana berpunca daripada genetik yang diwarisi daripada ibu bapa. Tabiat dan sikap anak-anak akan dibentuk sama seperti ibu bapanya. Sebab itulah selalu dikatakan, ‘anak merupakan cerminan ibu bapanya’. Dalam otak manusia terdapat 100 bilion neuron dan setiap satu neuron itu ada 10 ribu hubungan atau pertalian dengan neuron yang lain. Kebarangkalian saraf yang dirangsang bersama akan merancang tindakan yang sama adalah sangat tinggi.

Atas faktor itu jika anak-anak melihat bapanya memukul dan mendera ibunya apabila anak itu dewasa, dia akan melakukan perkara yang sama. Untuk menunjukkan berkuasa, kita mesti garang, supaya orang sekeliling takut dan tidak boleh melakukan sembarangan. Sedangkan dalam kehidupan ini adalah lebih baik seseorang itu dihormati dan disegani daripada ditakuti.

Ketiga, 10 peratus disebabkan oleh pengaruh persekitaran. Hal ini adalah kerana kanak-kanak berusia tujuh tahun sehingga 14 tahun mula terpengaruh dengan persekitarannya, melibatkan sekolahnya, guru-guru dan kawan-kawannya. Itu yang menjadi idolanya. Justeru, tanggungjawab anak-anaklah apabila mereka sudah terlepas daripada kawalan ibu bapa meletakkan sedikit perasaan pada akal agar lembut hatinya dan meletakkan sedikit akal pada perasaannya supaya lurus hatinya.

Selain IQ dan EQ, satu lagi yang perlu dibangunkan adalah SQ (kecerdasan spiritual atau Spritual Quatient). Bagi mencapai SQ seseorang itu perlu mengenali dirinya terlebih dahulu. Tahu dari mana asalnya dan faham mengenai tanggungjawabnya dalam hidup, iaitu tanggungjawab kepada Tuhan Yang Maha Pencipta dan tanggungjawab sesama makhluk. Ini kerana kehidupan tidak boleh berlangsung tanpa melibatkan hubungan dengan Allah SWT dan makhluk.

Untuk tujuan tersebut, kita perlu mengetahui lima peringkat kehidupan seseorang insan. Pertama, alam roh yakni ketika berada dalam kandungan ibu. Kehidupan manusia di alam dunia bermula apabila bayi itu dilahirkan, maknanya bermulalah tahap kedua dalam kehidupan manusia. Setiap bayi fitrahnya baik, suci tanpa sebarang dosa. Pada waktu inilah bermulanya taklif yakni penyerahan tugas daripada Allah kepada hamba-Nya mengenai kewajipan menunaikan segala perintah-Nya dan meninggalkan setiap larangan-Nya. Maka ibu bapa bayi itulah yang menentukan bayi mereka sama ada menjadi ahli neraka atau ahli syurga.

Setelah melalui alam dewasa seseorang itu akan sampai ke peringkat ketiga iaitu hidup dalam alam barzakh atau alam kubur. Peringkat hidup selepas kematian. Peringkat hidup keempat, dibangkitkan semua menuju alam akhirat. Peringkat kehidupan kelima, alam syurga atau alam neraka yang akan ditentukan oleh amalan seseorang manusia sepanjang berada di dunia. Kesedaran mengenai lima peringkat kehidupan inilah yang perlu diketahui oleh anak-anak remaja. Siapa diri anda dan dari mana anda datang? Kesedaran ini amat penting, supaya kita tidak mensia-siakan usia muda. Sabda Rasulullah SAW, yang bermaksud:“Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara, masa muda sebelum datang masa tuamu, masa sihat sebelum tiba masa sakitmu, masa lapang sebelum datang masa sibukmu, masa kaya sebelum tiba masa miskinmu dan masa hidup sebelum tiba ajalmu.” Orang yang memiliki SQ tidak akan mensia-siakan kehidupannya, kerana dia faham tujuan hidupnya dan perjalanan hidupnya. Bayangkan betapa hebatnya orang yang memiliki IQ, EQ dan SQ-cemerlang dunia dan akhirat.

 

SUMBER: UTUSAN ONLINE 22 SEPTEMBER 2019

PENULIS : ROF. DATUK DR. MUHAYA MOHAMAD

 

 

Tarikh Input: 27/09/2019 | Kemaskini: 03/06/2021 | normuliana

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT JAMINAN KUALITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1508
03-9769 1489
SXDdPAq~