Buku QA ODL UPM - 1: Pendahuluan | PUSAT JAMINAN KUALITI
» ARTIKEL » Buku QA ODL UPM - 1: Pendahuluan

Buku QA ODL UPM - 1: Pendahuluan

 

 

Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menawarkan program secara pendidikan jarak jauh (PJJ) sejak tahun 1995 di bawah pengendalian Institut Pendidikan Pengajian Jarak Jauh (IDEAL) yang kemudiannya pada tahun 2004 dinamakan sebagai Pusat Pendidikan Luar (PPL). Penawaran program bermula dengan program Bacelor Sains Komputer pada Sesi 1995/1996; diikuti dengan program Bacelor Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling), Bacelor Pendidikan (Pengajaran Bahasa Melayu sebagai Bahasa Pertama), Bacelor Pendidikan (TESL), Master Sains (Pembangunan Sumber Manusia) dan Bacelor Komunikasi pada tahun 1998. Sejak tahun 2009, UPM melalui UPM Education and Training (UPMET) telah menawarkan dua belas (12) program PJJ di peringkat Diploma, Bacelor dan Master secara kerja kursus. Pengendalian program PJJ ini melibatkan 14 Pusat Pembelajaran (PP) di seluruh negara yang dipantau oleh pihak UPMET.

 

Bagi memastikan aspek jaminan kualiti program ODL, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) telah membangunkan Kod Amalan Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh (Code of Practice for Open and Distance Learning (COP:ODL)) pada tahun 2013. Sejajar dengan perkembangan ODL semasa dan input daripada pihak berkepentingan, MQA telah membuat penambahbaikan ke atas dokumen COP:ODL dan menghasilkan COPPA:ODL (Code of Practice for Programme Accreditation: Open and Distance Learning) atau Kod Amalan Akreditasi Program: Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh pada tahun 2019.

 

1.1      Tujuan

 

  1. Buku panduan ini bertujuan untuk menerangkan polisi, governan dan tanggungjawab pusat tanggungjawab (PTJ) dan individu yang terlibat dalam penawaran, pengurusan dan pemantauan program ODL serta kriteria dan standard COPPA:ODL (2019). Panduan ini perlu dibaca bersama dengan COPPA:ODL (2019) serta dasar dan arahan yang berkuat kuasa dari semasa ke semasa berkaitan program ODL. Panduan ini akan menjadi sumber rujukan kepada pemilik program, pengurus program, panel penilai audit program dan pihak yang terlibat dalam pengendalian dan pemantauan kualiti program ODL di UPM.

 

  1. Buku panduan ini mengandungi lima (5) bahagian untuk rujukan pihak yang terlibat seperti dalam Jadual 1 berikut:

 

Jadual 1 Ringkasan Kandungan Buku Panduan Jaminan Kualiti Program ODL UPM

BAHAGIAN PIHAK YANG TERLIBAT
A: Polisi, Governan dan Pakar ODL UPM Pemilik program, pengurus program, panel penilai audit program dan PTJ yang memantau aspek jaminan kualiti program ODL
B: Kriteria dan Standard COPPA:ODL (2019)
C: Panduan Pembangunan JPP dan SIM ODL UPM Pemilik program
D: Sistem Pengurusan Pembelajaran ODL Pemilik program
E: Panduan Penyediaan Dokumen Program Pemilik program dan pengurus program

 

1.2     Definisi ODL

 

         ODL merujuk kepada penyediaan peluang pendidikan yang fleksibel dari segi akses dan                 pelbagai mod kaedah pemerolehan pengetahuan iaitu:

  • Fleksibel bermaksud pilihan tersedia bagi mendapatkan pendidikan di mana sahaja, pada bila-bila masa dan dengan apa cara sekalipun.
  • Akses bermaksud peluang yang diadakan untuk semua tanpa kekangan masa dan tempat.
  • Pelbagai mod bermaksud penggunaan pelbagai sistem penyampaian dan sumber pembelajaran.

 

1.3   Perbezaan antara Kaedah Penyampaian Konvensional dengan ODL

Berdasarkan Garis Panduan Pembangunan Program Akademik Universiti Awam Edisi Kedua oleh JPT (2018), kaedah penyampaian program merangkumi kaedah konvensional dan ODL. Kaedah penyampaian konvensional ditakrifkan sebagai pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka sepenuhnya atau dengan gabungan pembelajaran dalam talian secara teradun (blended learning). Manakala untuk ODL, PdP program dikendalikan dengan komponen kursus yang dilaksanakan secara dalam talian melebihi 60% daripada keseluruhan jumlah kursus dalam program.

 

1.4   Kriteria Wajib dan Umum Program ODL

 

COPPA:ODL (2019) telah menggariskan kriteria wajib dan umum untuk sesuatu program boleh dikategorikan sebagai program ODL iaitu:

 

  • Kriteria Wajib

 Sesuatu program dikategorikan sebagai program ODL apabila memenuhi kriteria berikut:

        

 

(a)

Program perlu mempunyai komposisi kursus yang ditawarkan secara ODL melebihi 60% daripada jumlah keseluruhan kursus yang ditawarkan dalam program berkenaan. Sebagai contoh, Program ABC mempunyai 40 kursus dengan 120 kredit untuk bergraduat. Maka, sekurang-kurangnya 24 kursus (60%) daripada 40 kursus hendaklah ditawarkan dalam bentuk ODL; dan

  (b) Penawaran kursus tersebut hendaklah mempunyai sekurang-kurangnya 80% Jam    Pembelajaran Pelajar (JPP) secara ODL. Sebagai contoh, bagi setiap 24 kursus dalam Program ABC yang ditawarkan dalam bentuk ODL hendaklah mempunyai JPP sekurang-kurangnya 80% secara ODL. Ini bermakna, jika sesuatu kursus dalam Program ABC mempunyai 120 jam pembelajaran pelajar, maka sekurang-kurangnya 96 jam hendaklah disampaikan secara ODL.

      

Nota: Sila rujuk Bahagian C: Panduan Pembangunan JPP dan SIM ODL UPM untuk penerangan lanjut berkenaan JPP.

 

  • Kriteria Umum

 

Standard COPPA:ODL (2019) dan Surat Makluman MQA Bil. 12/2020 menekankan kepada tiga (3) kriteria umum yang perlu ada dalam pembelajaran program ODL iaitu:

 

(a)

Self-Instructional Materials (SIM) iaitu bahan pengajaran kendiri untuk membimbing pelajar melengkapkan kompetensi dengan bercirikan self-learning, self-explanatory, self-contained, self-motivating, self-directed dan self-evaluating.

  (b)

Sistem Pengurusan Pembelajaran (Learning Management System (LMS)) iaitu platform e-pembelajaran yang perlu disediakan untuk pelajar memperoleh bahan pembelajaran, menghantar tugasan, mendapatkan informasi dan berkomunikasi bersama pensyarah dan rakan sekuliah.

  (c) Pakar ODL iaitu individu atau entiti yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam pembelajaran secara ODL. Pakar ODL merupakan pakar rujuk dalam membangun dan menambah baik kaedah PdP secara ODL.

 

Tarikh Input: 21/08/2023 | Kemaskini: 30/08/2023 | aidawati

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT JAMINAN KUALITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1508
03-9769 1489
SXFCXAY~