Buku APEL.C - Bahagian 1: Pengenalan | PUSAT JAMINAN KUALITI
» ARTIKEL » Buku APEL.C - Bahagian 1: Pengenalan

Buku APEL.C - Bahagian 1: Pengenalan

 

 

 

  1. Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah melancarkan Dasar APEL (Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu) pada tahun 2010, dan telah menyenaraikan APEL di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 (PPPM(PT)) iaitu Lonjakan 3: Menghayati Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH). Setakat ini terdapat tiga (3) kategori APEL yang telah diperkenalkan oleh pihak KPT dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) iaitu:
 

a) APEL.A (Access) iaitu bagi tujuan Akses/Kemasukan ke Program Pengajian Tinggi.

APEL.A memberi peluang kepada individu yang mempunyai pengalaman kerja tetapi kurang kelayakan atau tiada kelayakan akademik untuk menyambung pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Penilaian APEL.A melibatkan penilaian terhadap ilmu yang diperoleh oleh individu menerusi pendidikan formal mahupun menerusi pengalaman terdahulu.

 

 

b) APEL.C (Credit Award) iaitu bagi tujuan penganugerahan kredit. Menerusi APEL.C, individu yang telah ditawarkan untuk melanjutkan pengajian di IPT dibenarkan memohon pemindahan kredit pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu termasuk pembelajaran yang diperoleh melalui pengalaman kerja, pengalaman hidup atau himpunan kursus pendek bagi tujuan mendapat pindahan kredit untuk kursus dalam program akademik di IPT berkenaan. Pindahan kredit maksimum yang dibenarkan adalah sebanyak 30%.

 

 

c) APEL.Q (Academic Qualification) iaitu bagi tujuan penganugerahan kelayakan akademik. Ianya merupakan kaedah penilaian ilmu yg diperoleh daripada pendidikan formal, pengalaman kerja, pengalaman hidup atau/dan himpunan kursus pendek bagi tujuan mendapatkan kelayakan program akademik oleh Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT).

 

  1. Dari segi pelaksanaan APEL di UPM, sehingga kini UPM telahpun menerima kemasukan pelajar melalui APEL.A. Bagi meneruskan sokongan terhadap agenda dan dasar PSH ini, Pusat Jaminan Kualiti (CQA) mencadangkan APEL.C dilaksanakan di UPM. Pelaksanaan APEL.C di UPM dilihat bakal memberi impak positif kepada UPM dalam merealisasikan Pelan Strategik UPM 2021-2025 iaitu Matlamat 1 : Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang (Objektif Strategik 1: Menambahkan Nilai dan Meningkatkan Keberkesanan Program Akademik Sepadan dengan Keperluan Semasa).

 

  1. Pelaksanaan Pusat Penilaian C di UPM dapat memberi manfaat bukan sahaja kepada pelajar malah kepada UPM. Kebaikan APEL.C kepada pelajar adalah:

 

        a) mengiktiraf pembelajaran yang diperoleh daripada pengalaman kerjaya dan                          kursus pendek yang diikuti;

        b) mengurangkan pembelajaran berulang kepada pelajar;

        c) menggalakkan kemasukan individu berpengalaman ke program pendidikan tinggi;               dan

        d) mengurangkan kos dan masa untuk menamatkan pengajian.

  
  1. Impak positif pelaksanaan APEL.C kepada UPM pula adalah:

 

        a) mempertingkat imej UPM sebagai sebuah universiti awam yang menyokong dasar                  PSH;

        b) menarik lebih ramai calon untuk memohon mengikuti pengajian di UPM; dan

        c) memperkaya pengalaman kehidupan dan pembelajaran pelajar di kampus melalui                interaksi bersama pelajar dewasa.

Tarikh Input: 09/11/2023 | Kemaskini: 26/01/2024 | aidawati

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT JAMINAN KUALITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1508
03-9769 1489
SXFDBA0~