Audit Pematuhan Swaakreditasi UPM Tahun 2022 Oleh Oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) | PUSAT JAMINAN KUALITI
» BERITA » Audit Pematuhan Swaakreditasi UPM Tahun 2022 oleh oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)

Audit Pematuhan Swaakreditasi UPM Tahun 2022 oleh oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)

21 Jun 2022, Serdang – Universiti Putra Malaysia telah berjaya menjalani Audit Pematuhan Swaakreditasi UPM bermula 21 hingga 23 Jun 2022 oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Mesyuarat Pembukaan dan Mesyuarat Penutupan Audit Pematuhan Swaakreditasi UPM telah dihadiri oleh Yang Hormat Prof. Dato’ Dr. Mohd. Roslan Bin Sulaiman, Naib Canselor, UPM yang diadakan di Bangunan Canselori Putra. 

Audit ini dijalankan bertujuan memastikan UPM dapat mengekalkan status swaakreditasi kali kedua. Terdahulu, UPM telah dianugerahkan status swaakreditasi pada 29 April 2010 dan seterusnya, berjaya mengekalkan status swaakreditasi berdasarkan audit yang telah dilaksanakan pada tahun 2015. Dengan pengiktirafan swaakreditasi, UPM diberi kepercayaan untuk mengakredit sendiri program pengajian berpandukan kepada Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) serta standard dan ketetapan yang ditetapkan oleh pihak MQA dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dari semasa ke semasa.

Pada sesi audit kali ini, seramai lima (5) orang Panel Auditor MQA telah terlibat yang terdiri daripada Dr. Hj. Hazman Shah Abdullah (mantan Pensyarah UiTM) selaku Ketua Auditor, Dr. Nabishah Mohamad (mantan Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia), Prof. Dr. Abdull Sukor Shaari (Universiti Utara Malaysia), Prof. Dr. Wan Ahmad Kamil Che Mahmood (Universiti Sains Malaysia) dan Prof. Dr. Amir Akramin Shafie (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Manakala pegawai MQA terdiri daripada empat (4) orang yang diketuai oleh Pn. Mazlinawati Mohamed (Pengarah, Bahagian Audit Institusi).

Sepanjang tiga (3) hari audit dijalankan, seramai 156 auditi yang terdiri daripada Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Ahli Pengurusan Universiti, Pegawai Akademik, Pelajar dan Alumni UPM telah terlibat dalam sesi dialog yang diadakan bersama Panel Auditor. Selain itu, sesi lawatan tapak juga telah diadakan untuk melihat kemudahan di Putra Future Classroom, Fakulti Pengajian Pendidikan dan Makmal Mikroskop 1 & 2 serta Makmal Postmortem di Fakulti Perubatan Veterinar.

Hasil dapatan audit yang telah dikemukakan oleh Panel Auditor akan dijadikan panduan dalam memastikan penambahbaikan berterusan dalam sistem jaminan kualiti UPM. UPM optimis menerusi komitmen mantap semua warga UPM yang diselaraskan oleh Pusat Jaminan Kualiti, status swaakreditasi dapat dikekalkan buat kali kedua pada tahun 2022.

 

 

   

 

       

 

    

Tarikh Input: 08/07/2022 | Kemaskini: 08/07/2022 | aidawati

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT JAMINAN KUALITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1508
03-9769 1489
SXEXSAs~