Universiti Awam Digalak Tawar Kursus Jangka Pendek | PUSAT JAMINAN KUALITI
» ARTIKEL » Universiti Awam Digalak Tawar Kursus Jangka Pendek

Universiti Awam Digalak Tawar Kursus Jangka Pendek

   
     

SEPANG, 19 Disember- Universiti Awam (UA) digalakkan untuk menjadi penyedia kursus jangka pendek bagi menyokong agenda pembelajaran sepanjang hayat (PSH), selain mampu menambah pendapatan institusi masing-masing.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, permintaan global terhadap kursus jangka pendek adalah tinggi, malah universiti terkemuka dunia seperti Harvard University turut giat menawarkan kursus berkenaan.

Katanya, kursus jangka pendek juga boleh dijalankan bersama antara UA dengan kementerian lain mengikut bidang tujahan masing-masing.

"Kini, kerjasama silang bidang, silang kepakaran dan silang kementerian perlu dilakukan supaya mampu menghasilkan kerjasama yang efisien.

"Selain itu, kursus jangka pendek ini juga boleh ditawarkan kepada pelajar antarabangsa dan usaha ini pastinya mampu menjadi tarikan pelajar luar untuk menyambung pengajian di Malaysia seterusnya menjadikan negara ini hab pendidikan antarabangsa," katanya ketika perjumpaan bersama pengurusan tertinggi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sempena sesi lawatan ke Mercu MQA di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Mohamad Azhan Md. Amir; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman dan Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran.

Pada pertemuan tersebut, Zambry berkesempatan mendengar taklimat daripada pengurusan tertinggi MQA berkenaan peranan, inisiatif dan cabaran agensi itu dalam memastikan kualiti pendidikan tinggi negara terus berada pada landasan yang tepat.

Sementara itu, Mohammad Shatar berkata, UA juga digalak menjadi Pusat Penilaian Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL).

Inisiatif berkenaan bagi memberi peluang kepada masyarakat yang tidak mempunyai kelayakan konvensional untuk menyambung pengajian yang diidamkan dalam bidang masing-masing.

"Hingga kini, terdapat tiga jenis APEL diperkenalkan MQA iaitu APEL.A untuk akses kemasukan ke institusi pengajian tinggi, APEL.C bagi pemindahan kredit dan APEL.Q untuk penganugerahan terus berdasarkan pengalaman pemohon," katanya.

 

 

Sumber dipetik dari

Tarikh Input: 20/12/2023 | Kemaskini: 25/01/2024 | aidawati

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT JAMINAN KUALITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1508
03-9769 1489
SXFDCAv~