Kualiti Faktor Utama Pelajar Antarabangsa Pilih IPT Malaysia | PUSAT JAMINAN KUALITI
» ARTIKEL » Kualiti Faktor Utama Pelajar Antarabangsa Pilih IPT Malaysia

Kualiti Faktor Utama Pelajar Antarabangsa Pilih IPT Malaysia

 

Kualiti pendidikan tinggi yang baik menjadi faktor utama pelajar antarabangsa menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan mereka untuk menyambung pengajian.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, satu daripada indikator kualiti kecemerlangan itu ialah ilmu yang diraih di institusi pendidikan tinggi (IPT) dapat disebarluaskan supaya dapat dirasai oleh masyarakat.

Beliau berkata, aktiviti ilmiah yang dijalankan sama ada dalam bentuk pengajaran dan pembelajaran atau penyelidikan perlu dipastikan dapat dimanfaatkan oleh masyarakat umum di dalam mahu pun luar negara.

Katanya, kita tidak mahu segala proses yang berlaku di IPT hanya untuk kemajuan dan pembangunan individu atau kumpulan tertentu sahaja, tetapi yang lebih penting memberi impak kepada masyarakat dan negara.

“Sekiranya perkara ini dapat direalisasikan imej dan reputasi pendidikan tinggi negara akan terus terserlah di persada nasional, malah antarabangsa.

“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyasarkan kemasukan 250,000 pelajar antarabangsa menjelang tahun 2025.

“Justeru kita tidak boleh mudah cepat berpuas hati dengan pencapaian sedia ada dan perlu terus menterjemahkan kecemerlangan,” katanya.

Mohammad Shatar berkata, dalam usaha menjadikan IPT tempatan lebih hebat kualitinya, dapatan penyelidikan perlulah dimanfaatkan bersama.

Katanya, sekiranya perkongsian dengan masyarakat aktif berlaku, segala bentuk perkembangan yang diusahakan universiti akan dapat dirasai semua seterusnya membantu meningkatkan kemajuan negara secara holistik.

“Istilah universiti sebagai ‘menara gading’ janganlah menjadi tempat yang terlalu eksklusif sehingga tidak boleh dikongsikan hasil dapatannya dengan masyarakat.

“Dunia hari ini berasaskan ilmu pengetahuan, maka masyarakat yang tidak mementingkan ilmu pengetahuan dan inovasi akan terus ketinggalan,” katanya.

 

Sumber dari https://acesse.dev/CchY7

 

Tarikh Input: 08/04/2024 | Kemaskini: 08/04/2024 | aidawati

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT JAMINAN KUALITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1508
03-9769 1489
SXEeCAR~