MQA Saran IPT Tawar Kursus Pendek Tingkat Kemahiran Pekerja | PUSAT JAMINAN KUALITI
» ARTIKEL » MQA Saran IPT Tawar Kursus Pendek Tingkat Kemahiran Pekerja

MQA Saran IPT Tawar Kursus Pendek Tingkat Kemahiran Pekerja

 

Institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan disaran lebih proaktif dalam menawarkan kursus jangka pendek bersifat micro-credentials terutama kepada graduan yang telah lebih 20 tahun menamatkan pengajian.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, dalam era teknologi bergerak terlalu pantas ini, pastinya banyak perubahan berlaku sejak golongan itu menamatkan pengajian masing-masing.

Jelasnya, IPT perlu melihat situasi itu sebagai peluang untuk menawarkan 'sesuatu' kepada golongan yang sudah lama meninggalkan pendidikan tinggi bagi meningkatkan pengetahuan serta kemahiran mereka.

"Satu daripada caranya ialah dengan menyediakan kursus pendek bersifat micro-credentials supaya mereka mampu melengkapkan diri dengan teknologi terkini serta kehendak semasa industri dalam pelbagai bidang.

"Pastinya dengan mengikuti kursus pendek itu akan meningkatkan lagi keberkesanan mereka dalam menjalani tugasan harian di tempat kerja masing-masing.

"Inisiatif ini secara langsung akan meningkatkan produktiviti mereka selaras dengan hasrat negara untuk menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi," katanya menerusi kenyataan.

Micro-credentials secara amnya adalah suatu kursus atau pakej pembelajaran, bertujuan untuk mengiktiraf peningkatan kepakaran dan kompetensi spesifik individu dalam pelbagai bidang.

Penawaran micro-credentials memberi peluang terutamanya kepada individu bekerja untuk meningkatkan kemahiran spesifik yang disyaratkan oleh majikan dan industri dalam tempoh singkat.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, IPT perlu menjalin koloberatif secara lebih aktif dengan pihak industri untuk mengetahui keperluan terkini majikan.

Sekiranya tidak dilakukan, katanya, kemungkinan besar segala kemahiran mereka yang telah lama bergraduat sudah kurang relevan.

"Ini juga bagi mempromosi pendidikan fleksibel yang menyokong agenda pembelajaran sepanjang hayat (PSH) dan tenaga kerja di negara ini juga boleh merujuk Portal Micro-credentials yang dibangunkan MQA.

"Portal itu menjadi pusat sehenti dan sumber rujukan utama kepada pelajar serta calon pelajar bagi mendapatkan maklumat mengenai program micro-credentials yang ditawarkan oleh IPT di Malaysia," katanya.

 

Sumber dari https://l1nq.com/8hbjj

 

Tarikh Input: 08/04/2024 | Kemaskini: 08/04/2024 | aidawati

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT JAMINAN KUALITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1508
03-9769 1489
SXEeCAM~