Komitmen Terlalu Tinggi Hingga Terlupa Nak Kahwin | PUSAT JAMINAN KUALITI
» ARTIKEL » Komitmen Terlalu Tinggi hingga Terlupa nak Kahwin

Komitmen Terlalu Tinggi hingga Terlupa nak Kahwin

   
     

Kuala Lumpur: Golongan lelaki atau wanita yang dikategorikan sebagai 'bujang senja' kerana belum berkahwin kerana mempunyai kerjaya menarik selain berasa selesa dengan kehidupan mereka.

Pakar sosial, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, faktor lain adalah kerana komitmen terhadap bidang diceburi sangat tinggi sehingga menyebabkan individu itu 'terlupa' kepada perkara lain termasuk perkahwinan.

"Teori sosial juga menyatakan bahawa perasaan atau keinginan tidak dikongkong merupakan sumbangan kepada berlakunya senario atau keadaan di mana orang ini melewatkan perkahwinan walaupun sudah mencecah umur 40 tahun.

"Ini disebabkan apabila berkahwin, kita kena membuat keputusan dan bergantung kepada pasangan untuk membuat keputusan. Ia tidak sebebas seperti ketika kita hidup seorang," katanya.

Katanya, senario golongan 'bujang senja' ini berlaku kerana masyarakat di negara ini bersifat lebih terbuka berbanding dahulu.

"Kalau zaman dahulu, bila mana mencapai sesuatu umur seperti lelaki yang berusia 20-an yang tidak berkahwin lagi, akan dipandang serong.

"Berbanding hari ini, masyarakat lebih terbuka dan berpandangan ia adalah pilihan masing-masing serta perkara sensitif untuk dibincangkan di khalayak ramai.

"Justeru, mereka yang mempunyai ciri-ciri ini tidak tertekan untuk mencari pasangan walaupun umur mereka mencecah 40 tahun ke atas," katanya.

Mohammad Shatar berkata, dari segi teorinya, seseorang individu akan mencapai tarikan kepada jantina yang berbeza apabila usianya mencecah 25 tahun bagi lelaki dan 23 tahun untuk wanita.

"Selalunya bila menjangkau usia ini, kita punya (keinginan) seksual akan sampai ke maksimum. Di situ nak kahwin ke atau apa-apa," katanya.

Katanya, pada masa sama, individu yang berkahwin lewat juga terpaksa berhadapan dengan beberapa implikasi.

 

Usah berputus asa

Kuala Lumpur: Lelaki dan wanita yang masih belum menemui jodoh perlu menerima qada dan qadar yang ditentukan oleh Allah SWT.

Pakar Psikologi dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Fauziah Mohd Saad berkata, mereka juga seharusnya tidak berputus asa untuk mencari cinta sejati.

"Pertama sekali dari segi psikologi kena menerimanya. Mereka sudah ikhtiar dan sudah mencuba, tetapi masih belum mendapat jodoh. Jadi, dia kena menerima.

"Kalau dia tidak menerima perkara itu, akan mengganggu kesihatan mental mereka. Dia akan membezakan kehidupannya dengan orang lain seperti orang lain ada anak, aku tak ada anak atau orang ada isteri dan suami aku tiada.

"Kalau perkara itu sentiasa dipersoalkan, ia akan bermula dengan kemurungan ringan dan akhirnya akan menjadi serius disebabkan tertekan melihat kehidupan orang lain dan merasakan kehidupannya tidak sempurna," katanya.

 

Sumber dipetik dari

 

Tarikh Input: 17/12/2023 | Kemaskini: 25/01/2024 | aidawati

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT JAMINAN KUALITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1508
03-9769 1489
SXFDDAe~