MQA Awards Angkat Budaya Kualiti Pendidikan Tinggi | CENTRE FOR QUALITY ASSURANCE (CQA)
» ARTICLE » MQA Awards Angkat Budaya Kualiti Pendidikan Tinggi

MQA Awards Angkat Budaya Kualiti Pendidikan Tinggi

     
 

Majlis Anugerah Agensi Kelayakan Malaysia (MQA Awards) 2025 yang julung kali diadakan meraikan kecemerlangan institusi dan individu dalam kualiti akademik, inovasi serta tadbir urus, merangkumi semua sektor pendidikan tinggi negara termasuk universiti awam, swasta, politeknik, kolej komuniti dan institut latihan awam.

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata anugerah itu bukan sekadar majlis penyampaian trofi, sebaliknya manifestasi penghargaan negara terhadap pihak yang mengangkat standard pendidikan tinggi ke tahap lebih tinggi.

Katanya, dalam era penuh ketidaktentuan dan transformasi global dipacu oleh Revolusi Industri Keempat (IR 4.0), teknologi kecerdasan buatan (AI) dan tekanan ekonomi, kualiti pendidikan tinggi tidak boleh dikompromi.`

“Sebagai badan jaminan kualiti Pendidikan tinggi negara, MQA mengambil tanggungjawab ini dengan penuh amanah dan komitmen.

“Majlis MQA Awards 2025 ini adalah sebahagian inisiatif kami untuk memberi inspirasi dan memperkukuh budaya kualiti secara menyeluruh dalam ekosistem pendidikan tinggi negara,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis MQA Awards 2025 di ibu negara.

Majlis yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud; Pengerusi MQA, Datuk Seri Ir. Dr Zaini Ujang dan Pengerusi Jawatankuasa MQA Awards 2025, Prof. Ts. Dr. M. Iqbal Saripan.

Pada majlis itu, Anugerah Utama Jaminan Kualiti MQA Awards dimenangi oleh Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) sebagai pengiktirafan tertinggi terhadap pencapaian luar biasa dalam kualiti akademik, inovasi dan tadbir urus.

Anugerah lain meliputi Anugerah Kecemerlangan Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT): Jaminan Kualiti Dalaman (IQA) yang dimenangi Universiti Putra Malaysia (universiti berstatus Swaakreditasi); Universiti Teknikal Malaysia Melaka (kategori universiti), I-CATS University College (kolej universiti), INTI International College Subang (kolej/institut/akademi swasta) dan Kolej Komuniti Sabak Bernam (komuniti/institut latihan awam).

Anugerah Kecemerlangan PPT: Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) diraih Open University Malaysia (kategori universiti) dan Politeknik Merlimau Melaka (kolej/institut/akademi/politeknik/kolej komuniti), manakala Anugerah Kecemerlangan PPT: TVET dimenangi Universiti Malaysia Perlis (universiti) dan German Malaysian Institute (kolej/institut/akademi/politeknik/kolej komuniti).

Bagi Anugerah Khas Rakan Kerjasama MQA Paling Bernilai dimenangi Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), manakala Anugerah Khas Rakan Kerjasama Industri Paling Bernilai diterima TODAK Fusion Sdn Bhd dan Petro Teguh (M) Sdn. Bhd.

Anugerah Tokoh Jaminan Kualiti (Dalam Negara) dianugerahkan kepada Naib Canselor Universiti Teknologi MARA, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin dan Anugerah Tokoh Jaminan Kualiti (Luar Negara) diberikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Quality Assurance Agency for Higher Education (QAA), United Kingdom, Vicki Stott.

Mohammad Shatar berkata, MQA Awards bukan eksklusif untuk institusi besar atau universiti penyelidikan semata-mata kerana semua sektor diiktiraf termasuk politeknik, kolej komuniti, institusi latihan awam dan institusi pendidikan tinggi swasta yang menjadi tunjang kepada pembangunan negara.

Beliau berkata, pendidikan tinggi Malaysia semakin mendapat pengiktirafan antarabangsa, sering dijadikan rujukan oleh negara-negara dari Asia Tengah, Asia Barat, Eropah serta rantau ASEAN dan MQA telah melaksanakan program latihan berfokus kepada agensi jaminan kualiti di Afrika Selatan dan Filipina dan akan diperluaskan ke Qatar, Turkiye dan Uzbekistan.

“Dengan 16 Memorandum Persefahaman (MoU) aktif melibatkan rakan dari hampir semua benua termasuk Eropah, Afrika, Asia dan Australia, usaha ini membuka peluang kerjasama strategik kepada IPT Malaysia, khususnya dalam memperkasa agenda pengantarabangsaan.

“Saya menyeru semua IPT agar terus menjadikan kualiti sebagai budaya, bukan sekadar keperluan akreditasi. Biarlah MQA Awards ini menjadi simbol aspirasi bersama bahawa pendidikan tinggi Malaysia bukan sahaja setanding dengan piawaian antarabangsa, malah menjadi model kepada negara lain,” katanya.

     
Sumber daripada                           :  

Date of Input: 27/08/2025 | Updated: 27/08/2025 | aidawati

MEDIA SHARING

CENTRE FOR QUALITY ASSURANCE (CQA)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1508
03-9769 1489
W, (11:16:51pm-11:21:51pm, 28 Aug 2025)   [*LIVETIMESTAMP*]