Program Aspirasi Kualiti Akademik Dan Kualiti Perkhidmatan Di SMK Dato Klana Putra, Lenggeng | PUSAT JAMINAN KUALITI
» BERITA » Program Aspirasi Kualiti Akademik dan Kualiti Perkhidmatan di SMK Dato Klana Putra, Lenggeng

Program Aspirasi Kualiti Akademik dan Kualiti Perkhidmatan di SMK Dato Klana Putra, Lenggeng

 

14 Mei 2026, Lenggeng - Pusat Jaminan Kualiti (CQA) dalam memperkukuh jaringan bersama komuniti dengan menganjurkan Program Aspirasi Kualiti Akademik dan Kualiti Perkhidmatan di SMK Dato’ Klana Putra, Lenggeng, Negeri Sembilan yang turut disertai oleh Seksyen Promosi Akademik, Bahagian Kemasukan dan Bahagian Urus Tadbir Akademik BAKD serta Pasukan Promosi Pusat Asasi Sains UPM (ASPutra).

Seramai 85 orang pelajar Tingkatan 4 bersama empat orang guru bimbingan dan kaunseling telah menyertai slot “Akreditasi Pemangkin Kecemerlangan Kualiti Akademik” yang berlangsung di Dewan SMK Dato’ Klana Putra, manakala tujuh orang guru dan 15 orang pelajar Tingkatan 3 terpilih menyertai slot “Amalan EKSA dan Kelestarian Hijau” yang diadakan di Bilik Mesyuarat (Balai Muafakat).

Slot yang dikendalikan oleh Dr. Zufarzaana Zulkeflee, Timbalan Pengarah Jaminan Kualiti Akademik, CQA menjurus kepada perkongsian Laluan Pendidikan dan Kepentingan Akreditasi dengan memberi pendedahan mengenai kepentingan akreditasi Malaysian Qualifications Agency (MQA) dalam memastikan kualiti program pengajian tinggi serta hubung kaitnya dengan peluang pendidikan dan kerjaya selepas tamat persekolahan.

Sejurus selepas itu, diteruskan dengan promosi program pengajian UPM yang dikendalikan oleh wakil Unit Promosi BAKD dan  ASPutra.

Sementara itu, di Balai Muafakat, slot “Amalan EKSA dan Kelestarian Hijau” dikendalikan oleh Puan Nurainakmal Kamal Bahrin selaku Penyelaras EKSA UPM dengan menyampaikan taklimat Pengenalan Amalan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) bagi memberi pendedahan tentang budaya kerja dan persekitaran berkualiti yang boleh diterapkan di peringkat sekolah menerusi amalan EKSA.

Selain itu, sesi demonstrasi penghasilan produk inovasi berimej korporat menggunakan konsep kitar semula barangan terpakai turut dilaksanakan menerusi tayangan video.

Sesungguhnya, program seperti ini dilihat mampu menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti sekolah menerusi perkongsian ilmu, motivasi dan kesedaran berkaitan pendidikan tinggi serta amalan budaya kerja berkualiti yang boleh diaplikasikan secara langsung dalam persekitaran sekolah dan kehidupan seharian.

 
       
  Berita ditulis oleh   : Aidawati Ramali |  Seksyen Audit Institusi  |  Pusat Jaminan Kualiti

Tarikh Input: 09/06/2026 | Kemaskini: 14/06/2026 | aidawati

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT JAMINAN KUALITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1508
03-9769 1489
W, (01:53:25am-01:58:25am, 28 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]