Buku Pentadbiran Dan Pengurusan (PESAN) ISO UPM | PUSAT JAMINAN KUALITI
» ARTIKEL » Buku Pentadbiran dan Pengurusan (PESAN) ISO UPM

Buku Pentadbiran dan Pengurusan (PESAN) ISO UPM

   
 

Buku Pentadbiran dan Pengurusan (PESAN) ISO UPM ini dibangunkan sebagai rujukan warga UPM dalam menghayati sejarah perkembangan ISO serta struktur pentadbiran kualiti UPM secara menyeluruh sebagai sistem sokongan untuk mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI), Pelan Strategik serta Visi dan Misi UPM.

Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berjaya mendapat pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti (QMS) MS ISO 9001, Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS) MS ISO/IEC 27001 dan Sistem Pengurusan Alam Sekitar (EMS) MS ISO 14001. QMS merupakan pensijilan pertama yang merangkumi semua proses utama universiti, iaitu pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan inovasi, perkhidmatan profesional dan perkhidmatan sokongan. UPM telah berjaya memperoleh satu pensijilan QMS bagi seluruh UPM pada tahun 2011. Pensijilan QMS di UPM telah dimulakan seawal tahun 2000 oleh Fakulti Perubatan Veterinar. Ini bermakna QMS telah bertapak di UPM hampir 22 tahun yang mencerminkan pembudayaan amalan pengurusan kualiti telah sebati dalam jiwa warga UPM. Pada tahun 2012, UPM telah melakar satu lagi kejayaan dengan mendapat pensijilan ISMS dan seterusnya pada tahun 2014 memperoleh pensijilan EMS. Buku Pentadbiran dan Pengurusan (PESAN) ISO UPM ini dibangunkan sebagai rujukan warga UPM dalam menghayati sejarah perkembangan ISO serta struktur pentadbiran kualiti UPM secara menyeluruh sebagai sistem sokongan untuk mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI), Pelan Strategik serta Visi dan Misi UPM.

PESAN menceritakan perjalanan sejarah UPM untuk memperolehi tiga jenis ISO seperti berikut:

Sistem Pengurusan Kualiti (QMS) ISO 9001 adalah pendekatan yang sistematik untuk menerapkan kualiti dengan memastikan produk dan perkhidmatan memenuhi keperluan pelanggan dan keperluan pengawalseliaan.

Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS) ISO/IEC 27001 adalah pendekatan yang sistematik dan berstruktur di dalam pengurusan maklumat yang bertujuan untuk melindungi terutamanya maklumat yang sensitif daripada pelbagai ancaman. Ia menekankan kepada konsep atau prinsip keselamatan maklumat iaitu pemeliharaan kerahsiaan, integriti dan kebolehsediaan.

Sistem Pengurusan Alam Sekitar (EMS) MS ISO 14001 adalah satu pendekatan yang sistematik untuk melindungi alam sekitar, dengan mengenal pasti kaedah pencegahan pencemaran dalam usaha meningkatkan prestasi alam sekitar secara berterusan.

PESAN juga menerangkan pelaksanaan Sistem Akreditasi Makmal MS ISO/IEC 17025/2017 di UPM. Selain dari penulisan berkenaan dengan sejarah PESAN juga menerangkan struktur pentadbiran jaminan kualiti di UPM yang terkini termasuk pengurusan dan pemantauan keseluruhan sistem  kualiti yang dinaungi oleh Mesyuarat Kajian Semula Pengurusan (MKSP), diikuti oleh Mesyuarat Jawatankuasa Kualiti, Mesyuarat Semakan Keberkesanan Proses (MSKP) dan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS).

PESAN juga menjelaskan berkenaan tugas serta tanggungjawab keahlian Jawatankuasa Kualiti Peringkat Universiti dan struktur kualiti peneraju proses atau pusat tanggungjawab. Adalah penting untuk memahami pengurusan kualiti peringkat universiti dan bagaimana ia diturunkan ke peringkat pusat tanggungjawab. PESAN diakhiri dengan  Pemantauan dan Penambahbaikan Sistem Pengurusan ISO UPM iaitu  Pengurusan Audit Kualiti dan Pengurusan Risiko Operasi UPM.

Tarikh Input: 13/02/2023 | Kemaskini: 27/04/2023 | aidawati

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT JAMINAN KUALITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1508
03-9769 1489
SXDdUAA~